Colorado putuskan Trump hilang kelayakan pegang jawatan Presiden AS

Mahkamah Agung Colorado telah menarik balik nama Donald Trump daripada kertas undian Presiden 2024.
Mahkamah Agung Colorado telah menarik balik nama Donald Trump daripada kertas undian Presiden 2024.
A
A
A

COLORADO - Mahkamah Agung Colorado telah menarik balik nama Donald Trump daripada kertas undian Presiden 2024, dengan merujuk kepada klausa pemberontakan dalam Perlembagaan Amerika Syarikat (AS).

Dalam keputusan yang mencetuskan kegemparan dalam perlumbaan ke White House itu, mahkamah memutuskan dengan majoriti 4-3 bahawa Trump bukan calon yang layak kerana Seksyen 3 Pindaan ke-14.

Namun, keputusan ini ditangguhkan sementara menunggu rayuan pada bulan hadapan.

Sebelum ini, beberapa percubaan untuk menyingkirkan Trump daripada kertas undi di negeri-negeri lain telah gagal.

Beliau dijangka mengemukakan rayuan berhubung keputusan ini ke Mahkamah Agung AS.

Keputusan yang dibuat semalam (Selasa) tidak terpakai untuk negeri-negeri di luar Colorado.

"Kami membuat kesimpulan bahawa kerana Presiden Trump hilang kelayakan daripada memegang jawatan Presiden di bawah Seksyen Tiga, ia akan menjadi satu tindakan yang salah di bawah Kod Pilihan Raya bagi Setiausaha untuk menyenaraikan Presiden Trump sebagai calon dalam undian utama Presiden," kata Mahkamah Agung Colorado dalam penghakimannya.

Keputusan ini membatalkan keputusan terdahulu daripada seorang hakim Colorado, yang memutuskan bahawa larangan pemberontakan dalam Pindaan ke-14 tidak terpakai kepada Presiden kerana seksyen tersebut tidak menyebut secara jelas mengenai mereka.

Artikel Berkaitan:

Hakim Mahkamah Rendah yang sama juga mendapati bahawa Trump telah terlibat dalam pemberontakan pada hari rusuhan di Capitol AS pada tahun 2021 ketika penyokong beliau menyerang Kongres ketika Ahli-Ahli parlimen sedang mengesahkan kemenangan pilihan raya Presiden Joe Biden. - Agensi