Saman tiga pemimpin DAP: Siti Mastura diarah fail pembelaan

Dr Siti Mastura Muhammad
Dr Siti Mastura Muhammad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi George Town pada Selasa mengarahkan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad memfailkan pernyataan pembelaan sebelum atau pada 11 Januari 2024 dalam kes saman yang dikemukakan tiga pemimpin DAP terhadapnya.

Saman itu difailkan secara berasingan oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; bapanya, Tan Sri Lim Kit Siang serta Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim selaku plaintif pada 27 November lepas berhubung ucapan Siti Mastura dalam ceramah Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah Pilihan Raya Kecil Kemaman.

Peguam, Datuk S N Nair, yang mewakili ketiga-tiga pemimpin berkata, mahkamah turut mengarahkan plaintif memfailkan jawapan kepada pembelaan itu sebelum atau pada 26 Januari 2024.

"Mahkamah menetapkan 9 Februari 2024 untuk pengurusan kes selanjutnya,” kata beliau menerusi aplikasi WhatsApp selepas pengurusan kes secara e-Semakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin.

Ketiga-tiga plaintif turut diwakili peguam Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin manakala peguam Mohamad Hakim Faharmi Hassan mewakili Siti Mastura selaku defendan.

Menerusi pernyataan tuntutan, ketiga-tiga plaintif mendakwa Siti Mastura telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan Parti Komunis dan ketuanya Chin Peng serta bekas Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

Mereka mendakwa ketika ceramah pada 4 November lepas, defendan telah membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif iaitu mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis, menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara.

Ketiga-tiga ahli politik itu menegaskan bahawa dakwaan defendan adalah tidak berasas, palsu serta berniat jahat kerana sengaja mengaitkan mereka dengan parti komunis dan Chin Peng.

"Tindakan defendan jelas sekali didorongi dengan tipu muslihat untuk mendapatkan publisiti bagi menaikkan imej parti politik defendan," menurut ketiga-tiga plaintif dalam pernyataan tuntutan.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan kenyataan sama. - Bernama