Ringgit melantun semula untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama. - Gambar hiasan
Ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT melantun semula untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Selasa apabila dolar AS melemah disebabkan oleh pendirian monetari yang berdiplomasi oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.6760/6805 berbanding dolar AS daripada 4.6920/6965 pada penutup Isnin.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit secara amnya berada pada kedudukan yang lebih kukuh berbanding dolar AS hari ini, sejajar dengan penurunan Indeks Dolar AS (DXY) sebanyak 0.03 peratus kepada 102.535 mata.

"Ringgit juga lebih tinggi berbanding yen Jepun sebanyak 1.51 peratus kepada RM3.2376 bagi setiap 100 yen apabila mesyuarat dasar Bank of Japan hari ini berakhir tanpa sebarang perubahan dalam pendirian monetari mereka.

"Prestasi hari ini juga menunjukkan bahawa ringgit kekal berdaya tahan walaupun jumlah eksport yang lebih rendah daripada jangkaan untuk November. Secara keseluruhannya, naratif untuk pelonggaran monetari di AS sedang membina momentum yang sepatutnya positif untuk mata wang tempatan,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9376/9433 daripada 5.9434/9491 pada penutup Isnin dan lebih kukuh berbanding yen Jepun pada 3.2358/2393 daripada 3.2926/2960 dan naik berbanding euro kepada 5.1146/1195 daripada 5.1232/1281.

Nota tempatan itu juga didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang Asean yang lain.

Artikel Berkaitan:

Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.35/8.37 daripada 8.40/8.41 pada Isnin dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 301.5/301.9 daripada 302.4/302.9.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.5089/5128 daripada 3.5249/5285 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.3604/3805 daripada 13.4042/4228 sebelumnya. - Bernama