200 anak pokok dari Thailand dirampas

Pegawai Maqis Perak menunjukkan pokok-pokok dan barangan yang dirampas di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini. - Foto ihsan Maqis Perak
Pegawai Maqis Perak menunjukkan pokok-pokok dan barangan yang dirampas di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini. - Foto ihsan Maqis Perak
A
A
A

PENGKALAN HULU - Jabatan Perkhidmatan kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Perak merampas 200 anak pokok pelbagai jenis di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini yang dibawa masuk dari Thailand.

Pengarah Maqis Perak, Rozita Superman berkata, kesemua pokok yang dirampas dibawa masuk tanpa permit import sah hasil pemeriksaan ke atas kenderaan awam yang memasuki negara.

Menurutnya, pokok-pokok tersebut dibawa masuk melalui kenderaan persendirian dan bas pelancong semasa cuti sekolah dan Hari Krismas lalu.

"Antara anak pokok yang dirampas adalah durian, kelapa, nanas, tebu, buluh, ubi, bunga hiasan dan pelbagai benih sayur-sayuran. Selain itu beberapa barangan lain yang turut ditahan adalah produk hasilan haiwan iaitu sosej sebanyak 50kg dan dianggarkan keseluruhan barangan bernilai lebih daripada RM1,500.

"Kesemua barangan yang dirampas akan disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan peraturan berkaitan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rozita berkata, tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan penumpang-penumpang awam menyebabkan cubaan membawa masuk ini berlaku.

Menurutnya, setiap keluaran pertanian yang diimport perlu mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan bagi mengawal kemasukan penyakit tumbuhan selain menjamin keselamatan makanan agar sentiasa bersih dan selamat untuk dimakan oleh rakyat Malaysia.

Katanya, aktiviti mengimport keluaran pertanian tanpa Permit Import merupakan kesalahan Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.