Nusantara Fashion House lancar butik digital Februari depan

Sheikh Faleigh (belakang, kanan), Deden Muhammad Fajar Shiddiq (belakang, tengah) dan Yien Yee (belakang, dua dari kiri) pada Majlis MoU di pusat beli-belah Strand pada Isnin. - Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Sheikh Faleigh (belakang, kanan), Deden Muhammad Fajar Shiddiq (belakang, tengah) dan Yien Yee (belakang, dua dari kiri) pada Majlis MoU di pusat beli-belah Strand pada Isnin. - Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

BUTIK fesyen dari Indonesia, Nusantara Fashion House dengan kerjasama Easy Store akan melancarkan butik digital bermula Februari tahun depan.

Pengasas Nusantara Fashion House, Sheikh Faleigh Sheikh Mansor berkata, jualan secara dalam talian itu dilaksanakan berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan yang berminat membeli barangan dan produk dari negara jiran tersebut.

"Sebelum ini, banyak artis tempatan serta pempengaruh datang cari baju untuk majlis-majlis tertentu dan apabila orang lain nampak mereka pakai, ada pelanggan dari Terengganu telefon kami untuk dapatkan fesyen yang sama.

"Permintaan ini semakin bertambah terutamanya daripada pelanggan selain negeri Selangor, jadi kami akan menyediakan katalog fesyen melibatkan baju, kasut, barangan antik Indonesia dan perhiasan rumah di dalam pelbagai platform digital dengan perkhidmatan Easy Store.

"Saya rasa ini satu titik permulaan malah pelanggan kami boleh berbelanja dalam talian dari mana dan bila-bila masa sahaja tanpa perlu menunggu atau merancang perjalanan jauh ke sini (butik)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di pusat beli-belah Strand dekat sini pada Isnin.

Hadir sama, Atase Diplomatik Perdagangan Indonesia, Deden Muhammad Fajar Shiddiq dan Ketua Pegawai Perhubungan Easy Store, Soh Yien Yee.

Nusantara Fashion House dengan kerjasama Easy Store akan melancarkan butik digital bermula Februari tahun depan. - Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Nusantara Fashion House dengan kerjasama Easy Store akan melancarkan butik digital bermula Februari tahun depan. - Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Artikel Berkaitan:

Tambah Sheikh Faleigh, pihaknya juga akan memperkenalkan Nusantara Fashion Academy yang dijangka mula beroperasi di pusat beli-belah Strand selewat-lewatnya Februari tahun depan.

Jelasnya, pereka fesyen sama ada lepasan diploma atau ijazah sarjana muda berpeluang untuk mempraktikkan kemahiran mereka menerusi institusi tersebut.

"Mereka akan dilatih dan akhirnya dapat berkolaborasi dengan pereka fesyen dari luar negara seperti Indonesia," ujarnya.

Sementara itu, Yien Yee berkata, perkhidmatan Easy Store membolehkan perniagaan tempatan mencapai pengalaman pelanggan bersepadu (UCX) dengan menggabungkan aspek digital dan fizikal perniagaan.

"Kami senang hati lihat lebih banyak perniagaan dagangan langsung atau peruncitan kini menerapkan e-dagang.

"Kini, masyarakat di Malaysia boleh dapatkan barangan dari Indonesia yang disediakan oleh Nusantara Fashion House dengan mudah tanpa perlu berjalan jauh," katanya.