Peningkatan jangkitan influenza masih dalam julat normal

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan kes jangkitan influenza masih berada pada julat normal dan hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang mengambil maklum mengenai berita tular di media sosial mengenai peningkatan jangkitan itu berkata, Kementerian Kesihatan memantau influenza dengan menggunakan data proksi yang direkodkan daripada aktiviti survelan melibatkan beberapa lokasi sentinel dikenal pasti di seluruh negara.

Menurutnya, berdasarkan tren direkodkan dari aktiviti survelan tersebut, terdapat sedikit peningkatan kes Influenza Like-Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) semenjak pertengahan bulan Disember ini.

“Namun begitu, peningkatan yang direkodkan masih berada dalam julat normal dan hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya. Begitu juga, tiada peningkatan ketara bagi kejadian wabak jangkitan saluran pernafasan dilaporkan dalam tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, analisa terhadap virus influenza yang dikesan melalui pemantauan itu juga tidak menunjukkan sebarang tanda ia mengalami mutasi sehingga mencetuskan kemunculan virus influenza baharu (novel virus).

Influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selesema ringan kepada orang biasa tetapi boleh mengakibatkan jangkitan yang teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menyarankan orang awam dan golongan berisiko tinggi untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh kebanyakan fasiliti kesihatan swasta sebagai langkah pencegahan.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menasihatkan individu yang mempunyai gejala jangkitan influenza supaya berehat di rumah serta memakai penutup hidung dan mulut sekiranya ke tempat awam bagi mengelak penularan jangkitan. - Bernama