Perak pertimbang pemasangan CCTV di sekolah

Mohd Azlan bercakap kepada pemberita pada Isnin.
Mohd Azlan bercakap kepada pemberita pada Isnin.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perak sedia mempertimbangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap sekolah bagi memantau kejadian tidak diingini berlaku.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Mohd Azlan Helmi berkata, langkah itu dilihat mampu membantu memberikan maklumat terutama yang melibatkan siasatan pihak berkuasa.

"Saya rasa pun ini satu kaedah yang baik dan sudah tiba keperluannya untuk semua sekolah atau sekitar kawasan persekolahan dilengkapi dengan CCTV supaya kita dapat mencegah kalau ada kejadian-kejadian di masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena kunjungan Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Johari Kassim ke kediaman keluarga mangsa di Taman Chepor Sentosa di sini pada Isnin.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng dan Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris.

Mohd Azlan berkata, cadangan tersebut akan dikemukakan dalam Mesyuarat Exco akan datang sebelum dibawa kepada Kementerian Pendidikan.

"Ini perlu perancangan dan perbincangan lebih rapi kerana memakan kos yang tinggi," katanya.

Sementara itu, beliau meminta semua pihak supaya memadamkan video serta foto berkaitan kemalangan kes itu di media sosial bagi menghormati perasaan ahli keluarga.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebahagian kandungan yang tersebar terutama rakaman detik-detik akhir mangsa menghembus nafas terakhir telah mengganggu emosi semua ahli keluarga yang mulai tenang.

"Bapanya sedih apabila teringatkan kejadian itu, jadi saya harap pengguna di luar sana ambil tanggungjawab menurunkan kandungan tersebut.

"Saya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana individu yang berdegil serta terus menyebarkan video insiden itu di media sosial," katanya.