Wanita abai tiga anak, diperintah berkelakuan baik

Masanizah (dua dari kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Melaka pada Isnin kerana pengabaian anak.
Masanizah (dua dari kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Melaka pada Isnin kerana pengabaian anak.
A
A
A

MELAKA - Seorang wanita empat anak diperintah bon berkelakuan baik dengan melaksanakan khidmat masyarakat selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin atas dua tuduhan pindaan mengabaikan tiga anaknya.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Masanizah Roslan, 41, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Masanizah (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Seksyen di Melaka.
Masanizah (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Seksyen di Melaka.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan pindaan itu, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu am sekolah didakwa dengan cuai telah meninggalkan tiga anak kandungnya yang ketika kejadian berusia enam, lapan dan 11 tahun tanpa jagaan.

Perbuatan tersebut mungkin menyebabkan ketiga-tiga anaknya mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana di sini, antara 16 hingga 18 Jun 2021 dan 23 hingga 25 September 2021.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh diwakili Peguam Omar Zulkarnain merayu dia kenakan hukuman ringan dan telah insaf.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom bagaimanapun membantah perintah bon tersebut dengan hujah ia dibimbangi tidak mencapai sifat hukuman untuk menghalang masyarakat melakukan kesalahan sama.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian melepaskan tertuduh dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan sebanyak RM7,000 di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah turut memerintah tertuduh melaksanakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan di bawah Seksyen 31(3A) Akta Kanak-kanak 2001.