'Beri peluang Fahmi jalankan tugas' - PTVM

A
A
A

PERSATUAN Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) tidak bersetuju dengan pandangan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa pengasingan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kepada dua kementerian berbeza adalah untuk menyelamatkan karier politik Fahmi Fadzil.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, dakwaan itu dilihat memperkecilkan peranan Fahmi dalam mengemudi sebuah kementerian penting.

"PTVM yakin bahawa pemilihan Fahmi untuk menerajui Kementerian Komunikasi adalah berdasarkan keupayaan beliau melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pendapat KJ (Khairy) itu lebih kepada pendapat peribadi beliau yang kini kian hilang pengaruh dan peranan dalam arena politik," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah Jurey, pihaknya turut meminta agar Fahmi diberikan peluang merencanakan hala tuju Kementerian Komunikasi dengan baik bagi memastikan segala dasar-dasar kerajaan perpaduan mencapai objektif.

"Peringatan Perdana Menteri bahawa kini bukan lagi waktu banyak bercakap tetapi lebih kepada turun padang memastikan segala usaha membantu rakyat dilaksanakan segera.

"PTVM yakin Fahmi akan menjadikan satu tahun pengalaman memimpin KKD sebagai garis pengukur untuk beliau melakukan reformasi kepada industri kreatif dengan mewujudkan sebuah industri yang lebih berstruktur melalui ekosistem yang kondusif.

"Kami menyokong penuh pelantikan Fahmi dan akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang perlaksanaan dasar-dasar kerajaan bagi memastikan kepentingan industri terbela. Harapan PTVM agar pihak Kementerian Komunikasi sentiasa mengadakan libat urus dengan PTVM dan mengiktiraf peranan Persatuan dalam industri kreatif sebagai rakan strategik kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Khairy menerusi podcast Keluar Sekejap berpendapat KKD dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) tidak sewajarnya dipisahkan tetapi ia berlaku disebabkan faktor politik.

Khairy mendakwa, langkah kerajaan memisahkan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital hanya bertujuan ‘menyimpan’ Fahmi Fadzil.

Rombakan Jemaah Menteri minggu lalu menyaksikan KKD dipecahkan kepada dua iaitu Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Kementerian Digital kini diterajui bekas menteri komunikasi dan multimedia, Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Damansara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!