X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli perniagaan rugi RM70,000 rumah dipecah masuk

Zainuddin (tengah) menunjukkan sebahagian wang dilarikan suspek dalam kes pecah rumah di Kulim pada 25 Disember lepas.
A
A

ALOR SETAR - Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian RM70,000 selepas kediamannya di Kulim dipecah masuk pada 25 Disember lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, dua lelaki dipercayai memecah masuk rumah mangsa melalui tingkap belakang kira-kira jam 11.30 malam.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki memakai penutup muka dan memakai sarung tangan memecah masuk rumah mangsa.

"Suspek dipercayai melarikan sebuah peti besi mengandungi mata wang asing dan Ringgit Malaysia hampir RM70,000 menaiki kereta di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.

"Hasil rondaan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an dalam keadaan mencurigakan di kawasan Padang Serai di sini dengan sebuah kenderaan jenis Proton Waja," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner, Sapii Ahmad dan Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari.

Zainuddin berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui dua beg galas yang mengandungi sejumlah wang tunai pelbagai negara.

"Antaranya 2,086 keping wang Ringgit Malaysia bernilai RM2,086, 827 keping wang RM5 (RM4,135), 3,294 keping wang RM10 (RM22,940), 390 keping wang RM20 (RM7,800), 300 keping wang RM50 (RM15,000) dan 30 keping wang RM100 sebanyak RM3,000 serta wang asing," katanya.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga 1 Januari 2020 dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak menyimpan wang yang banyak dalam kediaman masing-masing kecuali sekiranya ada peti keselamatan.

Beliau turut mengingatkan mana-mana mangsa supaya segera membuat laporan polis apabila rumah mereka dipecah masuk.

"Dalam sesetengah kes pecah rumah, kita dapati ada mangsa leka mengemas yang mana boleh menghilang dan mengganggu bahan bukti padahal waktu sama mereka boleh membuat laporan menerusi telefon," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!