Malaysia jadi tuan rumah Kejohanan Dunia MLBB M6 tahun depan

Adam Adli
Adam Adli
A
A
A

MALAYSIA akan menjadi tumpuan penggemar e-sukan sejagat tahun depan dengan menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M6.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim ketika mengakhiri ucapan beliau di Final Kejohanan Dunia MLBB M5 2023 di Manila, Filipina, hari ini.

Adam berkata, beliau bangga untuk mengumumkannya dan ia akan menjadi satu daripada acara penting negara dan mengalu-alukan semua peminat e-sukan dunia untuk datang ke Malaysia.

"Dalam kita berkumpul di sini untuk menyambut final M5, saya teruja untuk mengumumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M6 pada 2024. Ini merupakan kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah untuk kejohanan ini, susulan kejayaan menjadi tuan rumah M1 pada 2019.

"Pencapaian ini bukan hanya untuk seorang individu tetapi untuk semua rakyat Malaysia, kita berjaya. M6 akan menjadi peristiwa diingati di dalam negara dan kami mengalu-alukan pemain, peminat dan penggemar e-sukan dari seluruh dunia untuk mengalami layanan baik tiada tandingan yang diberikan rakyat Malaysia,” katanya.

Sejumlah 16 pasukan bertanding dalam Kejohanan Dunia M5 yang berlangsung di Manila dari 2 Disember dan berakhir hari ini.

Wakil Malaysia, Team SMG dan Homebois gagal melepasi peringkat kumpulan. - Bernama

Artikel Berkaitan: