Kualiti berbeza faktor Penang FC tumpas

A
A
A

PERBEZAAN kualiti antara Penang FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dlihat menjadi faktor pemisah kepada kedua-dua pasukan pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu hingga menyaksikan skuad Harimau Kumbang itu tumpas 0-8.

Pengendali sementara Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, masih banyak yang perlu dilakukan skuad Haria Penang Haria itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan bagi bersaing dengan kelab-kelab handalan lain.

“Bagi saya, pasukan ini kena buat rombakan kalau nak bersaing dengan pasukan-pasukan hebat musim depan.

“Kalau nak cakap pasal perlawanan malam ini (Sabtu), bagi saya memang jelas nampak beza, kerana kita bermain dengan beberapa pemain utama dan turunkan ramai pemain muda.

“Tetapi secara keseluruhannya, saya melihat kekalahan ini adalah satu pengajaran berguna untuk pemain termasuklah kepada diri saya sendiri,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Akmal Rizal diberikan kepercayaan mengemudi skuad senior Penang FC bagi menggantikan Chong Yee Fatt yang digugurkan akibat prestasi tidak menentu.

Keputusan tersebut dibuat selepas pengendali berusia 42 tahun itu mempamerkan kebolehannya bersama pasukan belia Harimau Kumbang dari awal musim 2023.

Untuk rekod, Penang FC menamatkan saingan Liga Super 2023 pada kedudukan ke-10 dengan 24 mata hasil enam kemenangan, seri enam kali dan tewas 14 kali daripada 26 perlawanan selain merekodkan 29 gol dan bolos 50 kali.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Akmal Rizal berkata, sehingga ke hari ini, pihak pengurusan Penang FC masih belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukannya selaku ketua jurulatih skuad Harimau Kumbang itu bagi musim 2024 kelak.

Bagaimanapun katanya, sekiranya masih diberikan kepercayaan tersebut, sudah pasti dia akan menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.

“Jika ada rezeki dan kepercayaan diberikan, saya pasti akan melakukan banyak perubahan dan memperbaiki kelemahan di bahagian tertentu.

“Saya bertekad akan mengubah bola sepak Penang FC sekiranya diberikan tanggungjawab menerajui pasukan untuk musim depan menjadi pasukan jauh lebih baik daripada apa yang dihadapi dalam tiga musim kebelakangan ini.

“Alhamdulillah, dalam tiga perlawanan terakhir ini, kita berjaya mengutip empat mata dan pada perlawanan ini semua pihak pengurusan dapat lihat sendiri banyak yang perlu kita lakukan untuk menyediakan pasukan di musim depan jika kita mahu tergolong dalam kelompok empat atau enam pasukan terbaik,” katanya.

Selangor buru kemenangan buat penyokong setia

Dalam perkembangan berasingan, tiga mata sebagai hadiah kepada penyokong-penyokong setia The Red Giants menjadi misi Selangor FC apabila berdepan PDRM FC dalam perlawanan terakhir Liga Super kedua-kedua pasukan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.

Malah, pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe menyifatkan pemburuan kemenangan ke-20 liga musim ini penting sebagai manifestasi kepada pencapaian terbaik pasukan dari Lembah Klang tersebut selepas mengesahkan slot ke saingan kelab Asia musim depan.

"Ya, sudah tentu setiap pasukan mahukan kemenangan, namun kita mahu menghadiahkan tiga mata selepas meraih slot ke saingan Asia, berdepan PDRM kepada penyokong-penyokong yang sentiasa menyokong pasukan Selangor.

"Kita mahu jadikan keputusan positif dalam perlawanan berdepan PDRM ini sebagai hadiah berterima kasih pasukan Selangor kepada penyokong-penyokong setia The Red Giants yang datang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan harapan yang cukup besar musim ini," katanya pada Sabtu.

Sebagai rekod, tiga pertemuan sebelum ini menyaksikan Selangor tewas kepada PDRM 0-1 saingan Liga Super, dan 1-2 perlawanan kedua Pusingan 16 Piala Malaysia namun mara agregat 5-3 setelah mengatasi lawan 4-1 aksi pertama sebelum itu.

Dalam pada itu, Cheng Hoe sekali lagi mengingatkan pemain-pemain yang akan diturunkan berdepan anak buah Datuk Ahmad Yunus Alif agar tidak memandang rendah keupayaan juara Piala Cabaran tersebut.

"Dalam tiga pertemuan berdepan PDRM saingan Liga Malaysia, dua keputusan ternyata tidak memihak kepada Selangor jadi perlawanan ini sekali lagi menuntut sepenuh fokus dan disiplin tinggi setiap pemain.

"Saya percaya PDRM juga sama seperti Selangor mahu memburu penamat terbaik musim ini, selain memperbaiki kedudukan pasukan di posisi terbaik liga.

"Malah kejayaan menjulang kejuaraan Piala Cabaran baru-baru ini diikuti kemenangan ke atas Kelantan FC selepas itu meletakkan motivasi PDRM dalam prestasi terbaik untuk membuktikan sesuatu sekali lagi apabila berdepan Selangor," katanya.