Lelaki OKU hilang dua hari lalu ditemui mati dalam longkang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SITIAWAN - Seorang lelaki kurang upaya (OKU) ditemui terapung di dalam longkang besar di Jalan Pasir Panjang, Kampung Koh di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki terbabit daripada orang awam kira-kira jam 5 petang.

Menurutnya, sejurus menerima laporan berkenaan anggota dari Balai Polis Kampung Koh ke lokasi kejadian bagi mengesahkan penemuan mayat terbabit.

"Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan berusia 42 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam longkang besar telah tersangkut di batang paip.

"Pihak polis terpaksa meminta bantuan daripada pihak bomba dan penyelamat bagi mengeluarkan mayat berkenaan berikutan kedalam longkang kira-kira 4 meter dan air lebih kurang 1.5 meter," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Mohamed Nordin berkata, berdasarkan maklumat daripada bapa mangsa mendapati lelaki berkenaan merupakan OKU mental telah keluar rumah pada 13 Disember sebelum kejadian berlaku.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Jelasnya, setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian terbabit untuk menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di talian 05-6886222 bagi membantu siasatan.