NIMP 2030 pacu industri negara pada tahap tinggi

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (kanan) mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melancarkan NIMP 2030 sambil disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) di Menara MITI, Kuala Lumpur pada 1 September 2023. - FOTO BERNAMA.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (kanan) mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melancarkan NIMP 2030 sambil disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) di Menara MITI, Kuala Lumpur pada 1 September 2023. - FOTO BERNAMA.
A
A
A

PELAN Induk Perindustrian Kebangsaan 2030 (NIMP 2030) yang dilancarkan pada 1 September 2023 merupakan dasar perindustrian komprehensif yang menjurus ke arah memupuk pertumbuhan dan kemajuan sektor perkhidmatan berkaitan pembuatan dan perkilangan Malaysia.

Sebagai strategi transformatif, NIMP 2030 menyasarkan untuk memacu industri ke tahap yang lebih tinggi dengan memanfaatkan trend global semasa.

Dengan tempoh pelaksanaan selama tujuh tahun, NIMP 2030 mencerminkan pendekatan berasaskan misi mencapai matlamat pembangunan industri. Jangka masa ini menekankan komitmen terhadap hasil yang ketara dalam tempoh yang ditetapkan.

Dengan menetapkan misi dan matlamat tertentu, NIMP 2030 menyediakan pelan hala tuju yang jelas untuk pembangunan perindustrian yang menekankan kepada kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta sebagai tindakan kolektif untuk memacu perkembangan industri.

Secara dasarnya, NIMP 2030 mempunyai tujuan yang amat jelas merangkumi;

Hala Tuju Strategik Negara

Berfungsi sebagai kompas membangunkan perindustrian Malaysia, dengan menyediakan hala tuju strategik bukan sahaja untuk membimbing pembuat dasar, tetapi juga menawarkan visi yang jelas untuk industri menyelaraskan usaha mereka.

Rujukan Pelabur

Artikel Berkaitan:

Pelabur memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi. NIMP 2030 berfungsi sebagai rujukan berharga untuk pelabur tempatan dan antarabangsa, menawarkan pandangan tentang kedudukan perindustrian Malaysia dan trajektori yang disasarkan untuk diikuti.

Persediaan modal insan menjadi penekanan utama dengan mengukuhkan sistem pendidikan TVET serta STEM. - FOTO: 123rf.com
Persediaan modal insan menjadi penekanan utama dengan mengukuhkan sistem pendidikan TVET serta STEM. - FOTO: 123rf.com

Peranan Kerajaan dalam Membentuk Ekonomi

NIMP 2030 menggariskan secara jelas peranan kerajaan dalam membentuk ekonomi. Dengan mengambil bahagian secara aktif dalam pembangunan perindustrian, kerajaan menjadi pemangkin pertumbuhan, memudahkan persekitaran yang kondusif untuk inovasi, pelaburan dan kemajuan ekonomi yang mampan.

Jangkaan prestasi pertumbuhan

Menerusi tujuan dan matlamat tersebut, NIMP 2030 dijangkakan akan meningkatkan pencapaian Malaysia melalui peningkatan nilai tambah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM587.5 bilion dengan Kadar Pertumbuhan Purata Kumulatif (CAGR) 6.5 peratus menjelang 2030.

Malah, NIMP 2030 diyakini menyumbang kepada peningkatan 3.3 juta peluang pekerjaan dengan CAGR 2.3 peratus termasuklah peningkatan gaji median sebanyak RM4,510 berbanding RM1,976 pada tahun asas 2021.

Dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama perdagangan global, NIMP 2030 menggariskan empat misi pembinaan asas industri tempatan yang mampu mengembangkan potensi eksport negara menjelang 2030.

Empat misi yang digariskan di bawah NIMP 2030 melibatkan pembangunan keupayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) meliputi kompleksiti ekonomi maju, pembinaan sebuah negara maju dalam teknologi, push for net zero serta perlindungan keselamatan ekonomi dan keterangkuman.

Bagi misi kompleksiti ekonomi maju, ia melibatkan penyertaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam aktiviti nilai tambah yang tinggi selain melibatkan sektor itu dalam persidangan IndustryConnect untuk mengintegrasikan PKS dalam rantaian bekalan syarikat multinasional (MNC) atau syarikat liabiliti terhad (LLC).

Penglibatan ini turut melibatkan bantuan kepada PKS untuk mengeksport serta menyepadukan dalam rantaian nilai global.

Pengukuhan eksport turut diperkemaskan dengan misi pembinaan sebuah negara maju dalam teknologi dengan menggalakkan PKS menggunakan automasi dalam pengeluaran dan transformasi digital.

Pada masa sama, usaha itu disusuli dengan misi push for net zero yang melibatkan rangka kerja amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk membimbing peralihan sektor perindustrian negara, termasuk pembiayaan peluang inovasi bagi penyelesaian teknologi hijau.

NIMP 2030 menggariskan empat misi pembinaan asas industri tempatan sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama perdagangan global. - FOTO: 123rf.com
NIMP 2030 menggariskan empat misi pembinaan asas industri tempatan sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama perdagangan global. - FOTO: 123rf.com

Selain itu, misi melindungi keselamatan ekonomi dan keterangkuman ialah dengan meningkatkan keupayaan syarikat-syarikat peringkat pertengahan (MTC) membina daya tahan rantaian bekalan pembangunan perindustrian di seluruh negara.

Berdasarkan daripada empat misi tersebut, NIMP 2030 turut mampu mengembangkan potensi eksport dan memupuk pembangunan infrastruktur perdagangan.

Malah, pengukuhan eksport negara itu turut diperluaskan lagi dengan menggerakkan ekosistem pembiayaan yang disokong oleh kerajaan di samping menyediakan akses kepada kumpulan bakat yang lebih kukuh serta meningkatkan kemudahan PKS untuk merealisasi pelaburan.

STEM, TVET dan bahasa Inggeris

Bagi merealisasikan kejayaan NIMP 2030, persediaan modal insan menjadi penekanan utama dengan mengukuhkan sistem pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Justeru, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI) telah giat bekerjasama dengan pelbagai kementerian strategik meliputi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Sumber Manusia (KSM), dan Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) bagi mengukuhkan perkara itu.

Objektif utama kerjasama itu adalah untuk meningkatkan bilangan pelajar mengikuti disiplin STEM dan TVET bagi memenuhi tuntutan pembangunan industri pada masa depan.

Malah, keperluan pelajar STEM dan TVET merupakan penyelesaian jangka panjang bagi menangani kemerosotan penyertaan serta minat pelajar dalam kedua-dua bidang itu.

Selain itu, NIMP 2030 turut menuntut kepentingan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Malah, MITI sendiri telah melaksanakan langkah segera meningkatkan minat pelajar dalam bidang STEM, TVET serta penguasaan bahasa Inggeris menerusi penglibatan secara terus daripada syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan entiti korporat di Malaysia menerusi program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan sebagainya.

Selain itu, MITI turut memperluaskan usaha itu dengan melanjutkan Pas Nomad Digital kepada pekerja pembuatan untuk membolehkan graduan STEM dan TVET dari mana-mana warganegara menetap dan bekerja di Malaysia untuk tempoh tertentu.

Ini kerana, NIMP 2030 memerlukan bakat-bakat yang tepat bukan sahaja untuk menarik pelaburan yang sesuai, tetapi untuk menyokong syarikat-syarikat MNC sedia ada memperoleh rantaian bekalan yang mampan.

Tanpa bakat yang betul, Malaysia akan menghadapi cabaran dalam menarik pelaburan seterusnya menjadi halangan dalam mencapai matlamat kemampanan dan keterangkuman sektor industri negara.