X

Kindly register in order to view this article
!

Tangani dahulu ketirisan minyak sebelum laksana PSP

Kerajaan menangguhkan pelaksanaan PSP yang sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Januari 2020. -Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan menangani masalah ketirisan minyak bersubsidi terutama di kawasan sempadan negara terlebih dahulu sebelum melaksanakan Program Subsidi Petrol (PSP) pada tahun 2020.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, FOMCA menyambut baik keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan PSP yang sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Januari 2020.

Bagaimanapun katanya persatuan itu melihat keperluan kerajaan mengkaji satu mekanisme baharu menampung beban sistem subsidi minyak secara pukal, lebih baik dan efektif berbanding mekanisme pelaksanaan PSP.

"Mekanisme pelaksanaan PSP itu tidak jelas dan seolah-olah hanya menumpukan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) semata-mata.

"Sedangkan apabila PSP dilaksanakan, harga minyak RON95 akan naik berterusan hingga mencapai harga pasaran dunia dan sekaligus memberi kesan besar kepada harga barang serta perkhidmatan.

"Sepatutnya masalah ketirisan minyak perlu diselesaikan kerajaan terlebih dahulu kerana jumlah kerugian subsidi ditanggung sebenarnya mencakupi nilai sangat besar yang sepatutnya mampu menampung kos subsidi pukal," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan PSP sehingga satu masa yang akan diumumkan kelak.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tangguh pelaksanaan Program Subsidi Petrol

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakyat negara ini akan terus menikmati harga petrol berdasarkan sistem sedia ada sementara menunggu pengumuman pengesahan pelaksanaan PSP.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan menegaskan kerajaan perlu mengkaji semula mekanisme pelaksanaan PSP secara lebih teliti sebelum memberi tarikh baharu terhadap pelaksanaannya.

Menurutnya, langkah kerajaan menangguhkan pelaksanaan PSP sebenarnya memberi mesej tidak baik terhadap rakyat dan menunjukkan seolah-olah terdapat banyak kelemahan yang tidak dikaji lebih awal.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr Jacob George menggesa kerajaan memansuhkan terus pelaksanaan PSP demi kepentingan rakyat negara ini.

Menurutnya, pelaksanaan PSP dilihat seolah-olah menggunakan pendekatan 'try and error' dan rakyat dijadikan tikus makmal bagi mengenal pasti sama ada inisiatif itu mampu mengurangkan tanggungan subsidi minyak oleh kerajaan.

"Keadaan ekonomi lebih mencabar dan kuasa membeli pengguna semakin berkurangan pada tahun 2020, saya bimbang banyak perkara tidak baik akan berlaku jika PSP diteruskan.

"Mansuhkan sahaja PSP kerana pelaksanaan PSP sebenarnya meningkatkan lagi tahap kegusaran rakyat dalam mendepani suasana tidak menentu tahun hadapan," katanya.