PRN, PRK, pemecatan ahli, hangatkan suhu politik negara 2023

Gambar hiasan - Foto fail
Gambar hiasan - Foto fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam pilihan raya negeri (PRN) dan enam pilihan raya kecil (PRK) antara tumpuan utama yang menghangatkan suhu politik negara sepanjang tahun ini.

PRN 12 Ogos lepas yang melibatkan enam negeri menyaksikan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) mendominasi Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor manakala Perikatan Nasional (PN) mengekalkan status quo di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

PRN itu diadakan susulan keputusan keenam-enam kerajaan negeri terbabit untuk tidak mengadakan pilihan raya serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada akhir tahun lepas.

Turut mencuri tumpuan enam PRK iaitu bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan Parlimen Kemaman yang perlu diadakan setelah mahkamah membatalkan kemenangan calon pada PRU15, selain PRK Parlimen Pulai, Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, DUN Pelangai dan DUN Jepak yang diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas kematian penyandangnya.

Calon PN daripada Pas, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim mengekalkan kemenangannya pada PRK Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak dengan PRN di enam negeri manakala Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang di Kemaman pada pilihan raya 2 Dis lepas.

Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pula kekal milik PH selepas PRK serentak pada 9 Sept itu dimenangi calon daripada Amanah Suhaizan Kayat dan Nazri Abdul Rahman, sekali gus meneruskan legasi ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober lepas yang diadakan susulan kematian Datuk Johari Harun dalam nahas kapal terbang di Bandar Elmina, Shah Alam pada Ogos menyaksikan Datuk Amizar Abu Adam berjaya mengekalkan penguasaan BN di kawasan itu sejak 1986.

Di Sarawak, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya mempertahankan kerusi DUN Jepak menerusi calonnya Iskandar Turkee pada PRK yang diadakan pada 4 Nov susulan kematian Datuk Talib Zulpilip, 15 Sept lepas.

Artikel Berkaitan:

Selain rentetan pilihan raya pasca PRU15, tidak ketinggalan mewarnai landskap politik negara ialah keputusan lima Ahli Parlimen pembangkang daripada Bersatu yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjadi wakil rakyat pembangkang terbaru dan kelima menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Tahun 2023 juga menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan beberapa parti utama antaranya UMNO, Pas dan MCA selain pemecatan dan penggantungan oleh parti kepada beberapa nama besar dalam politik serta penubuhan parti baharu.

Bagi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan kekal menduduki dua kerusi tertinggi parti itu bagi tempoh satu penggal lagi selepas usul tambahan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Pemilihan pada 18 Mac itu turut menyaksikan tiga kerusi Naib Presiden diisi dua muka baharu iaitu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani selain penyandangnya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pelantikan tiga pemimpin itu pada masa sama menyaksikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandangnya sejak 2018.

Terdahulu, suhu di kem UMNO 'panas' pada Februari dengan menyaksikan nama besar di dalam parti iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dan 'orang lama' yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Tan Sri Noh Omar dipecat kerana pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO.

Pemecatan yang berpunca daripada kesalahan dilakukan sewaktu PRU15 itu turut melibatkan lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO dari Pahang.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif digantung hak dalam parti selama enam tahun.

Muktamar Tahunan Pas Ke-69 pada 22 Oktober pula menyaksikan lima kepimpinan utama iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden terus menerajui parti sehingga 2025 selepas kesemuanya menang tanpa bertanding, bermakna Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal memimpin parti itu sejak dilantik memangku jawatan berkenaan pada 2003.

Turut mengekalkan jawatan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden iaitu Datuk Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

MCA pula terus dipimpin Datuk Seri Dr Wee Ka Siong selepas Ahli Parlimen Ayer Hitam itu dipilih semula sebagai Presiden pada pemilihan parti pada September dengan Datuk Dr Mah Hang Soon kekal selaku Timbalan Presiden manakala MIC pada Perhimpunan Agung ke-77 berlangsung 18 Nov lepas meluluskan resolusi tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu tahun depan.

Di kem Bersatu, Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada 25 Nov mengesahkan beliau akan bertanding bagi mempertahankan jawatan disandang pada pemilihan parti akan datang.

Bagi PKR dan DAP, tiada sebarang perubahan tampuk kepimpinan pada tahun ini selepas kedua-dua parti itu selesai pemilihan pada tahun lepas manakala Amanah dijadual mengadakan pemilihan pada 23 dan 24 Dis ini.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy pada November mengumumkan penubuhan parti baharu iaitu Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), kira-kira dua bulan selepas bekas wakil rakyat di DUN Perai itu bertindak keluar parti dan meletakkan semua jawatan dalam DAP.

Negeri di bawah bayu, Sabah tidak terlepas dari menghadapi gelora politik susulan tindakan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin pada Januari mengumumkan parti itu menarik sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

Kemelut itu bagaimanapun tidak berlarutan dan Hajiji terus menerajui kerajaan negeri disusuli rombakan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah yang menyaksikan pelantikan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), BN dan PH.

Politik di Sarawak pula sepanjang tahun ini boleh disifatkan sebagai tenang malah Ahmad Zahid ketika berucap di Majlis Ngiling Bidai Upacara Penutupan Hari Gawai Dayak Parti Rakyat Sarawak (PRS) di Sri Aman pada Julai berkata kestabilan politik di bawah pimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg harus dicontohi.

Tidak ketinggalan mencuri tumpuan lensa media ialah pelantikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri ditadbir PN iaitu Kedah,Terengganu, Kelantan dan Perlis dengan berperanan memberikan nasihat mengenai tatakelola berkesan serta pengurusan efektif. - Bernama