Mangsa banjir Terengganu bertambah, 461 penduduk dipindahkan

Anggota penyelamat menjalankan operasi membantu memindahkan penduduk yang terjejas banjir. - Foto Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
Anggota penyelamat menjalankan operasi membantu memindahkan penduduk yang terjejas banjir. - Foto Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan kini berjumlah 461 orang berbanding 240 orang pada jam 8 malam Khamis.

Sehingga jam 8 pagi Jumaat, sebanyak 148 keluarga terjejas ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Hulu Terengganu dan Setiu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Hulu Terengganu merupakan daerah paling teruk terjejas dengan seramai 448 mangsa daripada 144 keluarga sudah dipindahkan ke tujuh PPS yang telah diaktifkan.

"Bagi daerah Setiu, dua PPS sudah dibuka bagi menempatkan 13 mangsa daripada empat keluarga yang terjejas banjir," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, tujuh PPS yang dibuka di Hulu Terengganu ialah Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Kampung Gunung Menerong, Lubuk Periuk, Kampung Kemat, Kampung Pengkalan Ajal, Kampung Pelandan, Kampung Cheting dan Kampung Tok Lawit.

Di Setiu pula, dua PPS dibuka iaitu Kampung Besut dan Surau Mak Bakas.

Jelas kenyataan itu, cuaca hujan masih melanda di beberapa tempat di daerah yang terlibat bencana berkenaan.

Artikel Berkaitan: