Masalah komunikasi punca lelaki berseluar pendek tak dibenarkan masuk ke HSJ

Hospital Seberang Jaya telah menjalankan siasatan dan mendapati apa yang berlaku berpunca daripada salah komunikasi antara anggota keselamatan dan pengadu. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Daniel Gooi)
Hospital Seberang Jaya telah menjalankan siasatan dan mendapati apa yang berlaku berpunca daripada salah komunikasi antara anggota keselamatan dan pengadu. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Daniel Gooi)
A
A
A

GEORGE TOWN - Masalah komunikasi dikatakan menjadi punca menyebabkan seorang lelaki warga emas yang berseluar pendek tidak dibenarkan masuk untuk melawat ahli keluarganya di Hospital Seberang Jaya, baru-baru ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, beliau kesal dengan kejadian yang berlaku dan berharap insiden seperti itu tidak akan berulang lagi.

"Hospital Seberang Jaya telah menjalankan siasatan dan mendapati apa yang berlaku berpunca daripada salah komunikasi antara anggota keselamatan dan pengadu.

"Tindakan lanjut akan diambil untuk mengelakkan kejadian ini berulang dan jangan biarkan insiden terpencil ini mencemarkan nama baik sistem penjagaan kesihatan kita kerana semua kakitangan perubatan kita bekerja keras untuk memastikan rakyat Pulau Pinang mendapat rawatan yang berkualiti," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum itu, sebuah portal melaporkan seorang warga emas dilarang melawat abang iparnya di sebuah hospital kerajaan dan diberikan ceramah mengenai Rukun Negara kerana berseluar pendek.

Memetik laporan FMT, Lim Thean Heng, 72, memakai baju T, berseluar atas lutut dan berkasut sukan ketika tiba di Hospital Seberang Jaya petang Isnin lalu.

Lelaki itu berkata, beliau kemudian ditunjukkan infografik kod pakaian pelawat hospital, yang melarang seluar pendek, skirt pendek dan baju tanpa lengan.

Beliau kemudian membangkitkan perkara itu di kaunter aduan hospital, di mana seorang pegawai memaklumkan akan menggunakan budi bicaranya dan membenarkan dia masuk hanya untuk kali itu.

Artikel Berkaitan: