KPJ Healthcare jual fasiliti penjagaan warga emas di Australia

KPJ Healthcare menjual keseluruhan operasi bagi fasiliti penjagaan warga emas berpangkalan di Australia.
KPJ Healthcare menjual keseluruhan operasi bagi fasiliti penjagaan warga emas berpangkalan di Australia.
A
A
A

PENYELIA perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta, KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) menjual keseluruhan operasi bagi fasiliti penjagaan warga emas berpangkalan di Australia di bawah anak syarikat miliknya, Jeta Gardens (Qld) Pty Ltd dan Jeta Gardens Aged Care (Qld) Pty Ltd.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, pelupusan strategik itu membolehkan pihaknya memberi fokus mengukuhkan komitmen bagi mengembangkan lagi pertumbuhan pasaran perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

Chin Keat Chyuan
Chin Keat Chyuan

Menurutnya, pelupusan tersebut dijangka selesai pada suku pertama 2024 dan pembeli akan menanggung sebarang liabiliti setelah proses penjualan selesai sekiranya ada.

“Jeta Gardens merupakan sebahagian daripada portfolio besar KPJ Healthcare merangkumi pemilikan operasi antarabangsa dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan warga emas yang berkualiti di Queensland, Australia.

“Pelupusan strategik ini melibatkan penjualan dan pemindahan aset dan pemansuhan liabiliti terpilih yang berkaitan dengan operasi perniagaan dijangka bakal mencatatkan untung bersih sebanyak AS$ 6.171 juta (kira-kira RM18.938 juta).

“Ini sejajar dengan strategi mengoptimumkan kecekapan operasi dan memberi tumpuan untuk memacu pertumbuhan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar Keat Chyuan, KPJ Healthcare sedang melaksanakan transformasi strategik dengan matlamat jelas untuk mengukuhkan perkhidmatan utama di pasaran domestik selepas berjaya membina legasi berasaskan kepercayaan dan kecemerlangan selama lebih 40 tahun.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pihaknya yakin langkah tersebut akan membolehkan kumpulan syarikat itu berada dalam kedudukan lebih responsif terhadap pasaran yang dinamik dan merangsang trajektori pertumbuhan keseluruhan KPJ Healthcare.

“Penyelarasan strategik ini selari dengan komitmen memberikan nilai luar biasa kepada semua pihak berkepentingan dan mengukuhkan dedikasi terus cemerlang dalam pasaran utama,” katanya.