J-KOM kini di bawah Kementerian Komunikasi - Fahmi
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang sebelum ini di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) kini diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi, kata menteri berkenaan, Fahmi Fadzil.
Fahmi yang merupakan Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Rabu.
Semalam, Anwar ketika mengumumkan rombakan Kabinet pertama Kerajaan Perpaduan mengumumkan penstrukturan semula Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipisahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.
Fahmi dinamakan sebagai Menteri Komunikasi manakala Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia sebagai Menteri Digital.
Fahmi berkata, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak, Jabatan Penerangan (JaPen), Jabatan Penyiaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan MyCreative Ventures adalah di bawah Kementerian Komunikasi.
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC Bhd dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi akan dipindahkan ke Kementerian Digital.
"Digital Nasional Bhd (DNB) masih ada perbincangan dan akan diputuskan kemudian,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi berhasrat mendapatkan maklum balas terus daripada rakyat mengenai segala dasar dan program dilaksana kerajaan selaras 'participatory democracy' atau demokrasi penyertaan yang dihasratkan perdana menteri.
"Kementerian ini akan berusaha menyediakan satu format sama ada melalui aplikasi atau agensi yang akan ditentukan kemudian untuk membantu usaha memungut suara, mendapatkan pandangan rakyat berkaitan isu semasa termasuk dasar, keputusan ataupun program kerajaan.
"Ini selaras hasrat perdana menteri memastikan ke depan, rakyat lebih terbabit dan beri peluang kepada rakyat untuk berikan pandangan dalam sama ada pembentukan dasar atau dari segi pelaksanaan program atau aktiviti kerajaan," katanya.
Ditanya status pelantikan Ketua Pengarah J-KOM, Fahmi meminta semua pihak memberikan masa kepada beliau untuk memuktamadkan beberapa perkara sebelum pelantikan dibuat.
"Saya belum sempat bertemu dengan pihak J-KOM, jadi saya perlu beri mereka masa dan ruang untuk memberi taklimat dahulu sebelum saya beri perkembangan lanjut," katanya.
Jawatan Ketua Pengarah J-KOM kini kosong selepas Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff meletak jawatan yang disandangnya itu bermula 2 Februari lepas pada 15 November.
Fahmi berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut membincangkan mengenai agensi-agensi yang akan ditempatkan di kementerian berkaitan, susulan penstrukturan semula tersebut.
"Bagaimanapun ia belum diputuskan dan saya tidak boleh menyatakan lebih daripada itu sehingga apa yang disebut sebagai perintah fungsi-fungsi menteri diwartakan yang kita jangka sehingga Januari 2024," katanya.
Mengenai Kementerian Digital, Fahmi berkata, proses pembentukan kementerian itu sedang berjalan dan ia bakal ditempatkan di Menara Usahawan di sini. - Bernama
@sinarharianonline J-KOM kini di bawah Kementerian Komunikasi #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #BeritaSemasa #J-KOM #Kementerian
original sound - Sinar Harian