Hujan lebat 8 jam, Masjid Mukim Chenulang ditenggelami air

Keadaan bahagian bawah Masjid Mukim Chenulang selepas hujan lebat sejak Rabu. - Foto ihsan penduduk
Keadaan bahagian bawah Masjid Mukim Chenulang selepas hujan lebat sejak Rabu. - Foto ihsan penduduk
A
A
A

KUALA KRAI - Hujan lebat kira-kira lapan jam sejak malam Rabu menyebabkan tingkat bawah Masjid Mukim Chenulang di sini ditenggelami air lebih satu meter.

Banjir di kawasan berkenaan berlaku kira-kira jam 3 pagi akibat limpahan air Sungai Kuala Pertang yang hanya 100 meter dari masjid berkenaan.

Siak Masjid Mukim Chenulang Mohd Adnan Mat Husin berkata, bagaimanapun jemaah masjid dari beberapa kampung masih menunaikan solat berjemaah di tingkat atas masjid itu.

"Penduduk boleh melalui jejantas di bahagian atas untuk menunaikan solat berjemaah," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Penduduk di kawasan itu kini sudah tidak boleh keluar selepas terkepung banjir.

Mohd Adnan memberitahu, ahli jawatankuasa masjid sudah biasa dengan situasi itu dan mula mengemas semua peralatan di masjid berkenaan minggu lalu selepas berlaku banjir kali pertama.

Jelas beliau, Masjid Mukim Chenulang digunakan penduduk membabitkan empat kampung iaitu Kampung Kebun Pisang, Kampung Limau Madu, Kampung Chenulang, Kampung Dusun Bang dan Kampung Pasir Jering.

"Bahagian atas masjid boleh memuatkan seramai 200 jemaah dan akan berkurang jika banjir besar berikutan penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Masjid Mukim Chenulang menjadi penanda aras banjir selepas bencana bah kuning pada 2014 berikutan pernah tenggelam hampir 80 peratus dan banyak peralatan masjid rosak teruk.