Seminit rasa marah, bertahun-tahun merana

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RESAM hidup di kota metropolitan, selain dibebani kos sara hidup tinggi, cabaran lain yang harus ditempuh adalah kesabaran mengharungi kesesakan jalan raya.

Walaupun keadaan jalan raya di bandar-bandar utama semakin dipertingkatkan untuk kelancaran pergerakan trafik, namun kesesakan terutama pada waktu puncak atau cuti umum tetap berlaku.

Belum lagi ditambah sikap pengguna jalan raya sendiri, antaranya gagal mematuhi isyarat jalan raya, tidak bertimbang rasa dan kurang sabar tatkala terperangkap dalam kesesakan.

Baru-baru ini, seorang bekas pekerja bidang IT, Yew Wei Liang, 45, didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir di Lebuhraya Utara Selatan, empat tahun lalu.

Kejadian dikatakan perpunca daripada perselisihan faham antara tertuduh dan mangsa akibat kemalangan kecil yang akhirnya membawa kepada kes Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 16 tahun bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 10 Ogos 2019.

Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berhujah, tertuduh yang gagal mengawal emosi harus diberikan pengajaran serta peringatan kepada masyarakat jika berhadapan situasi sukar di jalan raya.

Menghabiskan masa 16 tahun di dalam penjara bukan satu tempoh masa yang singkat.

Dalam kes ini, tertuduh akan dibebaskan sebaik menghampiri usia emas. Pada waktu dia dibebaskan, tiada apa lagi yang dapat dilakukannya untuk mengubah hidup.

Artikel Berkaitan:

Meringkuk di penjara merubah segalanya. Hanya seminit perasaan rasional itu hilang di atas jalan, berbelas-belas tahun terpaksa menanggung azab di tirai besi.

Menurut Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad, terdapat tiga faktor boleh menyebabkan emosi pengguna jalan raya terganggu sehingga bertindak luar kawalan dan mencetuskan pergaduhan yang akhirnya membawa kepada insiden buli jalan raya.

“Tiga faktor ini ialah apabila terlibat kemalangan, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas untuk jangka masa panjang selain berada dalam keadaan cuaca panas.

“Semua situasi ini boleh meningkatkan tahap stres seseorang,” katanya.

Bagaimanapun, Fauziah berkata, ia mengikut situasi semasa kejadian.

Menurutnya, pemandu kenderaan yang terlibat kemalangan perlu bijak mengawal emosi dengan tidak terburu-buru membuat sebarang tindakan.

“Jika seseorang pemandu tidak boleh mengawal kemarahan dan mudah bertindak agresif, ambil masa membantu diri bertenang sebelum keluar berbincang dengan orang yang terlibat dengan nada baik. Ambil masa untuk bertenang.

“Apabila berlaku kemalangan, boleh tengok tahap diri seseorang. Ada yang jenis penyabar, ada yang baran. Jadi tak boleh kata mereka ada masalah kesihatan mental,” katanya.

Tambah Fauziah, insiden tular di laman sosial sehingga mencetuskan spekulasi boleh menambah tekanan kepada individu terlibat.

“Kebanyakan video yang ditularkan tidak berlaku seperti digembar-gemburkan warganet, sebaliknya hanya mahu meraih jumlah like yang banyak,” ujarnya.

Suka penulis ingatkan bahawa jalan raya adalah milik bersama, begitu juga undang-undang tidak mengenal siapa.

Tetapi sikap dan perbuatan di jalan raya adalah daripada diri kita sendiri.

Ramai juga yang berseloroh apabila didapati bersalah atau ditangkap, mulalah merayu dengan memberi alasan menanggung orang tua, ramai anak, isteri sedang hamil dan sebagainya.

Tidak kurang juga nada lebih nakal dengan mendakwa memiliki kad orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya sebagai sindiran kepada pihak berkuasa apabila melihat individu terbabit dalam kemalangan atau melanggar peraturan.

Hakikatnya, ibarat kata pepatah ‘sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya’.

* Mohd Razlan Mat Salleh ialah Penyunting Sinar Harian