[VIDEO] Langgar Syed Danial: Bekas pekerja IT dipenjara 16 tahun

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas pekerja teknologi maklumat (IT) yang melanggar sehingga menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir, di Lebuh Raya Utara Selatan, empat tahun lalu, dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.

Hakim, Julia Ibrahim menjatuhi Wei Liang, 45, hukuman itu selepas mendapati dia bersalah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.

Ketika membaca keputusan ringkas, hakim berkata, dalam menentukan hukuman yang wajar dikenakan ke atas tertuduh, mahkamh mengambil kira faktor-faktor mitigasi, antaranya latar belakang, kesalahan pertama dan kerjasama tertuduh semasa siasatan.

Yew Wei Liang (tengah) dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis. - Foto: Bernama
Yew Wei Liang (tengah) dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis. - Foto: Bernama

“Mahkamah juga perlu menekankan kepentingan awam dalam kes-kes seperti ini yang menuntut hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran kepada umum.

“Kes yang bermula dari amukan jalan raya, didorong rasa amarah dan tidak puas hati serta ditambah dengan penggunaaan bahan terlarang, hanya mengundang akibat buruk.

“Sebenarnya, sikap tenang, mengawal emosi dan menahan diri untuk beberapa saat sebelum bertindak, amat diperlukan dalam keadaan dunia yang semakin mencabar ini,” katanya.

Hakim berkata, peguam tertuduh memaklumkan, sebelum ini terdapat tawaran pertuduhan di bawah Sekyen 304(a) itu, namun ditolak oleh tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia merupakan hak tertuduh (untuk menolak atau menerima), kemudian perbicaraan penuh telah dijalankan.

Bagaimanapun beliau berkata, disebabkan pandemik Covid-19, prosiding yang sepatutnya berlangsung singkat, menjadi lebih panjang.

Selain itu katanya, mahkamah juga menimbangkan keterangan impak daripada keluarga mangsa.

“Kejadian ini adalah satu tragedi kepada semua pihak yang terlibat bukan sahaja kepada mangsa, malah isteri tertuduh (keguguran kandungan) termasuk kedua-dua keluarga juga yang terkesan dengan kehilangan.

Setelah menimbangkan semua faktor yang dikemukakan, mahkamah berpendapat hukuman yang sesuai dan wajar dalam kes ini ialah tertuduh dihukum penjara 16 tahun dari tarikh tangkap iaitu 10 Ogos 2019,” katanya.

Pada Selasa lalu, mahkamah mendapati Wei Liang bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial, di lokasi tersebut.

Julia memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes bagi kesalahan di bawah Seksyen 304(a).

Sebelum ini, pada 22 Ogos 2019, Wei Ling didakwa membunuh Syed Muhammad Danial, yang juga pengurus bank, di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, pada 10 Ogos tahun sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, ketika membaca keputusan kes, hakim mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqarie Durranie Aziz sementara pembelaan oleh peguam, Wee Choo Keong.