Kematian Syed Danial: Peguam mohon tertuduh dijel enam tahun

Yew Wei Liang (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.
Yew Wei Liang (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pihak pembelaan bagi pihak Yew Wei Liang merayu kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis agar bekas pekerja teknologi maklumat (IT) yang melanggar Syed Muhammad Danial Syed Syakir hingga menyebabkan kematian empat tahun lalu dikenakan hukuman ringan iaitu penjara maksimum enam tahun.

Semasa hujahan di sesi mitigasi untuk mengurangkan hukuman, peguam, Wee Choo Keong yang mewakili Wei Liang, 45, berkata, suatu yang zalim dan tidak munasabah bagi mahkamah meletakkan kesalahan di bahu tertuduh semata-mata berhubung kematian Syed Muhammad Danial, 29.

Wee Choo Keong
Wee Choo Keong

Menurutnya, anak guamnya tidak berniat untuk menyebabkan kematian pengurus bank itu, sebaliknya ia lebih kepada kejadian malang dalam kemalangan jalan raya.

Katanya, Wei Liang mencapai umur 45 tahun pada Oktober lalu, jika mahkamah menjatuhi hukuman pemenjaraan yang panjang, dia akan dibebaskan ketika usia yang lanjut, sekali gus menyukarkannya untuk mencari pekerjaan.

Beliau berkata, sebelum ditangkap, lelaki itu merupakan pekerja senior di bidang IT telah menanggung isteri, ibu bapa yang uzur termasuk kedua-dua mentuanya.

"Wei Liang telah ditempatkan di Penjara Sungai Buloh bermula 10 Ogos 2019 lalu, ia menyebabkan isterinya menjadi penanggung keluarga lebih empat tahun lalu.

"Ekoran insiden itu pada 2019, isterinya yang sedang hamil, telah ditahan bagi membantu siasatan namun malangnya dia mengalami keguguran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru itu, beliau berkata, bukan hanya keluarga mangsa mengalami kehilangan anak lelaki, tetapi tertuduh turut menghadapi nasib sama.

Katanya, kejadian itu menyebabkan kedua-dua keluarga ini menghadapi takdir yang sangat malang.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman berat dan setimpal iaitu penjara antara 21 hingga 25 tahun.

Menurutnya, kesalahan yang dilakukan tertuduh ialah mematikan orang, malah ia merupakan jenayah yang kerap berlaku di negara ini, seolah-olah nyawa tidak bernilai atau mudah diambil pihak lain.

“Mahkamah perlu melihat kecederaan yang dihadapi mangsa sebelum dia meninggal dunia.

“Dia mengalami banyak patah rusuk, malah organ hatinya terbelah dua, ini menunjukkan impak itu berlaku dengan sangat kuat,” katanya.

Raja Zaizul Faridah berkata, tindakan tertuduh yang gagal mengawal emosi perlu diberi pengajaran terutama kepada masyarakat jika berhadapan situasi sukar di jalan raya.

Selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan termasuk kenyataan impak mangsa, Julia menjatuhi bekas pekerja di bahagian teknologi maklumat (IT), Yew Wei Liang hukuman penjara 16 tahun kerana menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial.

Pada Selasa lalu, mahkamah mendapati Wei Liang, 45, bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial, di lokasi tersebut.

Sebelum ini, pada 22 Ogos 2019, Wei Ling didakwa membunuh Syed Muhammad Danial, yang juga pengurus bank, di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, pada 10 Ogos tahun sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, ketika membaca keputusan kes, hakim mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Pendakwaan dalam kes ini turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aqarie Durranie Aziz.