Mesyuarat GC SIAP ke-19 fokus isu statistik, pelan strategik menjelang 2025-2029

Nor Azmie (duduk, tujuh dari kanan) bergambar bersama delegasi GC SIAP di hotel The Westin, di sini pada Rabu. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Nor Azmie (duduk, tujuh dari kanan) bergambar bersama delegasi GC SIAP di hotel The Westin, di sini pada Rabu. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Kementerian Ekonomi mengadakan mesyuarat 'Governing Council of the Statistical Institute for Asia and Pacific’ (GC SIAP) ke-19 bermula 13 hingga 15 Disember ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, mesyuarat itu diadakan bertujuan membahaskan isu berkenaan statistik, laporan pencapaian tahunan dan pelan strategik menjelang 2025-2029.

Tambah beliau, ia turut diselitkan dengan seminar pengurusan ke-18 buat kesemua ketua delegasi Organisasi Statistik Nasional (NSO) dalam rantau Asia dan Pasifik untuk bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman menerusi satu sesi dialog forum.

Mohd Uzir. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohd Uzir. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Penglibatan DOSM sebagai ahli GC SIAP cukup bermakna dalam menunjukkan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa dengan berkongsi ilmu perangkaan terbaik kepada seluruh komuniti statistik serantau.

“Negara ini mempunyai platform luas untuk menyampaikan ilmu dan kepakaran dalam proses yang mampan dengan kerjasama antarabangsa melalui Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM).

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan rakan strategik untuk meningkatkan program pembangunan bagi kualiti dan ketersediaan statistik, terutamanya dalam melaksanakan Agenda Pembangunan Mampan 2030,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama ketika sesi pembukaan GC SIAP ke-19 yang diadakan di hotel The Westin, di sini.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat tahunan GC SIAP memainkan peranan penting dalam menilai tadbir urus, status kewangan dan inisiatif program, selari dengan pelan strategik United Nation (UN) SIAP 2021-2025.

Hadir sama ke acara terbabit ialah Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron; Pengarah UN SIAP, Dr Shailja Sharma serta Pengarah Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP) Bahagian Statistik, Rachel Beaven.

Setiausaha Eksekutif UNESCAP, Armida Salsiah Alisjahbana juga tidak terkecuali menyampaikan kata alu-aluan secara rakaman video di hadapan kesemua delegasi dari 32 negara anggota dalam Asia Pasifik.

Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron berucap pada sesi pembukaan ‘The 19th Session of The Governing Council of Statistical Institute for Asia and The Pacific (GC SIAP) di hotel The Westin, di sini pada Rabu. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron berucap pada sesi pembukaan ‘The 19th Session of The Governing Council of Statistical Institute for Asia and The Pacific (GC SIAP) di hotel The Westin, di sini pada Rabu. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Sementara itu, Nor Azmie memaklumkan, antara isu yang bakal diketengahkan dalam mesyuarat berkenaan adalah mengenai sejauh mana data dan statistik mampu menepati usaha UN untuk mencapai indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Kebangsaan sepertimana diinginkan pihak tersebut.

“Perkara berkaitan data ini penting dalam merangka sesuatu perkara bukan hanya berkenaan dasar dan polisi, tetapi juga memastikan sesuatu statistik bertepatan dengan prosedur yang ada dalam negara serta seluruh dunia.

“Kerjasama berterusan DOSM, Kementerian Ekonomi dan UN SIAP ini diharapkan tidak hanya meningkatkan kredibiliti pengeluaran data, malah penginovasian teknologi baharu dalam segala proses statistik,” ujarnya.