Felda sumbang RM50,000 untuk pemuliharaan penyu

Ahmad Shabery (dua dari kiri) menyempurnakan Majlis Penyerahan Dana dan Perasmian Aktiviti Sukarelawan Program Legasi Penyu: Tekad Bersama Memulihara di Sandakan pada Selasa.
Ahmad Shabery (dua dari kiri) menyempurnakan Majlis Penyerahan Dana dan Perasmian Aktiviti Sukarelawan Program Legasi Penyu: Tekad Bersama Memulihara di Sandakan pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menyalurkan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi menaja 333 sangkar penyu.

Felda dalam satu kenyataan berkata, bantuan berkenaan dijangka dapat menampung purata 33,000 ekor anak penyu untuk setiap pendaratan induk.

“Sumbangan tersebut disalurkan sebagai usaha untuk membantu Pengurusan Taman Pulau-Pulau Penyu (TPPP) memberi perlindungan dan pemuliharaan penyu di sekitar Pulau Bakungan Kecil, Selingan dan Gulisan.

“Ia (sumbangan) juga bertujuan untuk memperkasakan usaha pemuliharaan ekosistem laut yang semakin terancam,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Dalam pada itu, Felda memaklumkan, program berkenaan turut melibatkan pelbagai aktiviti termasuk kempen kesedaran dilaksanakan bersama sukarelawan yang hadir.

Felda menjelaskan, ia bertujuan untuk menyalurkan maklumat kepada orang awam mengenai kepentingan usaha perlindungan dan pemuliharaan penyu khususnya di Sabah.

Menurut kenyataan itu lagi, inisiatif tersebut menjadi manifestasi komitmen Felda dalam menyokong penuh usaha kerajaan mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui SDG 14: Life Below Water yang merupakan salah satu daripada 17 elemen digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Antara pihak terlibat ialah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM - GSB), Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Artikel Berkaitan:

Seterusnya, United Nations Sustainable Development Solutions Network Asia Headquarters (UNSDSN Asia) dihoskan oleh Sunway University serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) turut berkolaborasi bagi menjayakan program ini.