IKBN Pekan muncul juara kategori utama Robattle Competition 2023

Pasukan IKBN PEKAN B muncul juara kategori Robot Combat pada Selasa. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Pasukan IKBN PEKAN B muncul juara kategori Robot Combat pada Selasa. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KAJANG - Pasukan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan B, Pahang muncul juara bagi kategori utama, Robot Combat dalam Pertandingan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) International Robattle Competition (UIRC) 2023.

Kemenangan itu juga menyaksikan pasukan yang diwakili Muhammad Rusyidil Hasif Roslizam dan Aiman Izzul Khuarizmi Zakiayamani membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, pingat beserta sijil.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Profesor Madya Dr Azman Senin berkata, secara keseluruhan sebanyak 140 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan melibatkan empat kategori tersebut.

Selain Robot Combat, tiga kategori lain yang turut dipertandingkan dalam kejohanan yang berlangsung tiga hari bermula 10 Disember itu ialah Line Following, Sumo Robot dan Innovation.

Azman - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Azman - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

"Saya difahamkan pertandingan ini telah menerima penyertaan 140 pasukan terdiri daripada peserta yang mewakili universiti awam, swasta, institut latihan, badan profesional dan juga sekolah di Malaysia.

"Tahniah juga kerana acara tahun ini turut berjaya menarik sebanyak 21 penyertaan daripada peringkat luar negara iaitu 18 pasukan dari Iran dan tiga dari Indonesia,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup UIRC 2023 di UniKL Malaysia France Institute (MFI) di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Korporat dan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Mohd Nazri Mohd Deni.

Menurut Azman, penganjuran UIRC juga merupakan salah satu program yang menyokong projek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) Collaboration Hub (TCH) Institusi TVET @ KKDW 2023.

"Untuk rekod, UniKL khususnya Robotic Society merupakan antara pemain utama dalam industri robotik negara.

"Bukan hanya menganjurkan pertandingan, Robotic Society telah mengadakan banyak siri bengkel di sekolah serta lain-lain institusi termasuk institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara)," katanya.

Majlis Perasmian Penutup UniKl International Robattle Competition 2023 yang berlangsung di Dewan Perdana UniKl pada Selasa. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Majlis Perasmian Penutup UniKl International Robattle Competition 2023 yang berlangsung di Dewan Perdana UniKl pada Selasa. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Tambahnya, penganjuran pertandingan itu juga selari dengan agenda untuk memperkasakan TVET di Malaysia seperti yang disarankan oleh KKDW melalui penglibatan kerajaan, industri dan institusi berkaitan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, objektif utama pertandingan itu diadakan untuk memberi pendedahan mengenai bidang teknologi kejuruteraan mekatronik dan automasi robotik kepada semua lapisan masyarakat.

Selain itu katanya, ia juga bertujuan menguji kreativiti dan kebijaksanaan dalam mereka cipta robot yang memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

"Pertandingan ini juga mendedahkan pelajar kepada cabaran sebenar dalam bidang kejuruteraan dan mengembangkan minat dalam Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM)," katanya.

Sementara itu, pertandingan tersebut turut melibatkan beberapa pemain industri automasi dan robotik besar di negara ini.