Israel mahu curi dan bolot rizab minyak Gaza

Rakyat Palestin berhimpun pada 13 September tahun lalu untuk menuntut hak gas asli di Mediterranean di luar Genting Gaza dan pembinaan laluan laut yang akan menghubungkan dunia luar.
Rakyat Palestin berhimpun pada 13 September tahun lalu untuk menuntut hak gas asli di Mediterranean di luar Genting Gaza dan pembinaan laluan laut yang akan menghubungkan dunia luar.
A
A
A

TEL AVIV - Kempen pengeboman, pembunuhan dan pengusiran penduduk Genting Gaza oleh tentera Israel telah memasuki hari ke-67.

Sepanjang tempoh itu, lebih 18,200 penduduk Gaza yang tidak berdaya sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak syahid, manakala lebih 80 peratus menjadi pelarian.

Malah, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep borrell menyifakan kesan kemusnahan di wilayah Palestin itu lebih dahsyat berbanding kehancuran bandar-bandar di Jerman semasa Perang Dunia Kedua.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memberi alasan pencerobohan di Gaza sebagai tindakan mempertahankan diri selepas Hamas melancarkan serangan rentas sempadan pada 7 Oktober lalu.

Netanyahu yang terpalit isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebelum ini menegaskan bahawa operasi ketenteraan di Gaza hanya akan dihentikan selepas Hamas berjaya dihapuskan.

Namun, benarkah pencerobohan di Gaza bertujuan menghapuskan pengaruh Hamas semata-mata atau Israel mempunyai tujuan lain?

Pengkritik percaya penguasaan penuh ke atas Genting Gaza membolehkan Israel membolot kekayaan minyak dan gas di perairan Gaza dikenali sebagai medan Marin Gaza.

Berdasarkan laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), perairan Gaza dan Kawasan C Tebing Barat mempunyai simpanan minyak 1.7 bilion tong dan 127 trilion kaki padu gas asli!

Artikel Berkaitan:

Aset gas asli di Laut Mediterranean telah lama memainkan peranan penting dalam politik serantau dan mendapat perhatian media.

Apa yang menghairankan ialah hanya segelintir sahaja yang menyebut Gaza dalam konteks ini.

ZIONIS GELAP MATA

Ahli geologi dan ahli ekonomi telah mengesahkan bahawa wilayah Palestin yang diduduki terletak di atas takungan kekayaan minyak dan gas asli yang besar, di Kawasan C Tebing Barat dan pantai Mediterranean di luar Genting Gaza.

Penemuan baharu gas asli di Lembangan Levant berada dalam julat 122 trilion kaki padu manakala minyak yang boleh diperoleh semula dianggarkan sebanyak 1.7 bilion tong, menurut kajian yang bertajuk “Kos Ekonomi Pendudukan untuk Rakyat Palestin: Minyak Yang Tidak Disedari dan Potensi Gas Asli.”

Menurut kajian UNCTAD, rizab minyak dan gas asli itu mampu memberi keuntungan sehingga AS$524 bilion (RM2.45 trilion).

Tambah kajian itu, dana tersebut boleh membiayai pembangunan sosioekonomi dalam wilayah Palestin.

Bagaimanapun, setakat ini rakyat Palestin dilarang mengeksploitasi rizab minyak serta gas di tanah dan perairan mereka sendiri oleh rejim Zionis, perbuatan yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

MANIPULASI TOTAL TEL AVIV

Minat untuk meneruskan pembangunan medan Marin Gaza muncul pada 2022 berikutan perang antara Rusia dan Ukraine, pemusnahan Saluran Paip Nord Stream dan sekatan yang dikenakan ke atas Rusia yang menyebabkan krisis tenaga global.

Mesyuarat bersama telah diadakan antara pegawai Israel, Amerika Syarikat (AS), Mesir, Jordan dan Palestin untuk membincangkan projek itu yang telah diberi kebenaran oleh Netanyahu berikutan pemilihan semulanya.

Pada 18 Jun, Israel memberikan kelulusan awal untuk pembangunan medan gas di luar pantai Gaza, dengan Netanyahu mendakwa kemajuan akan bergantung pada "memelihara keamanan dan keperluan diplomatik negara Israel" dan penyelarasan dengan Pihak Berkuasa Palestin dan negara jiran, Mesir.

Pada masa sama, pegawai Hamas Ismail Rudwan memberitahu Reuters: "Kami mengesahkan bahawa rakyat kami di Gaza mempunyai hak ke atas sumber asli mereka."

Rizab gas yang belum diterokai ini adalah satu lagi peluang ekonomi yang hilang untuk Gaza, yang mana ekonominya telah hancur akibat pengepungan yang dikenakan oleh Israel selepas berlakunya pengambilalihan kuasa oleh Hamas pada tahun 2006.

Hari ini, minyka dan gas asli tersebut masih kekal terperangkap 600 meter di bawah paras laut, tersembunyi dari rakyat Palestin dan inilah yang Israel mahukan. - Agensi