Bursa Malaysia meningkat sederhana dalam persekitaran rombakan Kabinet

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 0.73 mata kepada 1,447.12 daripada 1,446.39 ketika ditutup semalam. - Foto hiasan
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 0.73 mata kepada 1,447.12 daripada 1,446.39 ketika ditutup semalam. - Foto hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia mengakhiri dagangan yang tidak menentu dengan peningkatan sederhana pada penutup hari ini, dipacu oleh pembelian pada saat akhir saham wajaran tinggi perladangan dan perbankan terpilih meskipun dagangan dilihat dalam keadaan berhati-hati sepanjang hari dalam persekitaran rombakan kabinet pagi ini.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 0.73 mata kepada 1,447.12 daripada 1,446.39 ketika ditutup semalam.

Indeks utama itu dibuka 0.27 lebih rendah pada 1,446.12 dan bergerak antara 1,444.26 dan 1,447.72 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Lingkungan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 483 berbanding 388, manakala 457 kaunter tidak berubah, 1,003 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.28 bilion unit bernilai RM2.38 bilion daripada 3.82 bilion unit bernilai RM2.47 bilion semalam.

Ketua Penyelidik Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata FBM KLCI ditutup tinggi tetapi pada paras hampir tidak berubah kurang daripada setengah mata memandangkan pendekatan berhati-hati pasaran berikutan rombakan barisan menteri Kabinet Malaysia.

"Prestasi itu dipengaruhi oleh prestasi semalaman yang lebih baik dicatatkan Wall Street dan seiring dengan prestasi positif kebanyakan pasaran serantau," katanya kepada Bernama.

Leong berkata Bursa Malaysia pada masa hadapan dijangkakan tidak berubah didorong oleh ketidaktentuan terhadap keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang akan diumumkan esok.

Artikel Berkaitan:

Fed memulakan mesyuarat dasar monetari terakhirnya bagi tahun ini, hari ini. Mesyuarat yang diadakan pada 12-13 Disember itu akan menentukan keputusan kadar dana bank pusat.

"Sementara itu, pelabur juga akan terus memantau data Indeks Harga Pengeluar AS yang akan dikeluarkan esok. Selain itu, ketiadaan pemangkin baharu di pasaran domestik mengehadkan peningkatan seterusnya pada masa ini,” katanya.

Leong menyatakan bahawa dari perspektif teknikal, FBM KLCI berkemungkinan cenderung kepada aliran menaik yang sederhana.

"Paras rintangan serta-merta dikesan berada pada 1,465 dan 1,488, manakala paras sokongan dikesan pada 1,430,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga masing-masing naik dua sen kepada RM9.07 dan RM9.93, CIMB menokok satu sen kepada RM5.79, Public Bank tidak berubah pada RM4.25, manakala Petronas Chemicals turun lapan sen kepada RM7.09.

Sementara itu bagi saham aktif, Sarawak Cable menokok 15 sen kepada 21 sen, Asdion meningkat 1.5 sen kepada sembilan sen, Sarawak Consolidated susut 3.5 sen kepada 77 sen, dan Handal tidak berubah pada 13 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 2.78 mata kepada 10,682.08, Indeks FBMT 100 menambah 1.89 mata kepada 10,349.56, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 1.69 mata kepada 10,774.81, Indeks FBM ACE meningkat 21.87 mata kepada 5,131.03, manakala Indeks FBM 70 susut 12.05 mata kepada 14,078.18.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 11.92 mata kepada 16,376.27 dan Indeks Tenaga meningkat 2.58 mata kepada 795.47.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.59 mata kepada 170.10 dan Indeks Perladangan turun 4.22 mata kepada 6,973.58.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.94 bilion unit bernilai RM2.08 bilion berbanding 2.12 bilion unit bernilai RM2.14 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran susut kepada 752.97 juta unit bernilai RM93.84 juta daripada 1.16 bilion unit bernilai RM127.72 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 587.87 juta saham bernilai RM204.0 juta berbanding 540.09 juta saham bernilai RM203.99 juta pada Isnin.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 244.82 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (508.67 juta); pembinaan (125.41 juta); teknologi (198.19 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (78.07 juta); hartanah (220.6 juta); perladangan (29.80 juta); REIT (14.19 juta), dana tertutup (4,300); tenaga (201.82 juta); penjagaan kesihatan (101.23 juta); telekomunikasi dan media (28.13 juta); pengangkutan dan logistik (39.24 juta); dan utiliti (146.24 juta). - Bernama