Muda gesa Kabinet baharu terjemah agenda reformasi tertangguh

Muda gesa Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan segera laksana agenda reformasi yang tertangguh. (Laporan Sinar Harian pada Selasa.)
Muda gesa Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan segera laksana agenda reformasi yang tertangguh. (Laporan Sinar Harian pada Selasa.)
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa perubahan Kabinet Malaysia dapat diterjemah kepada agenda reformasi institusi yang telah tertangguh sepanjang tahun pertama pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Muda dalam satu kenyataan berkata, parti berkenaan menerima rombakan Kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, prestasi Kerajaan Perpaduan dalam tempoh setahun pentadbiran kurang memuaskan dan dipilih atas kepentingan politik yang tidak stabil, namun kini sudah memiliki majoriti kukuh.

“Iltizam politik harus mula diangkat bukan sahaja oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi juga oleh semua Jemaah Menteri.

“Tidak ada ruang untuk mereka yang tidak cekap untuk terus mentadbir dan melengah-lengahkan janji dibawa sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” kata kenyataan itu pada Selasa.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Anwar telah mengumumkan pelantikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri, termasuk empat muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Pada sidang media pada Selasa, Perdana Menteri turut mengumumkan penyusunan semula kementerian berdasarkan keperluan semasa melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Manakala, Kementerian Komunikasi dan Digital pula dipecahkan kepada masing-masing Kementerian Digital serta Kementerian Komunikasi.

Artikel Berkaitan:

Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala Timbalan Menteri meningkat daripada 27 kepada 29 sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang.

Tambah kenyataan itu, Muda turut menyeru kerajaan untuk melaksanakan segala perkara yang tertangguh termasuk pelaksanaan undang-undang berkaitan dengan pemisahan kuasa, pindaan kewarganegaraan, dan reformasi lain.

“Muda menantikan tempoh pentadbiran positif dan membina yang akan menyumbang kepada kemajuan serta kesejahteraan keseluruhan Malaysia,” kata kenyataan itu.