Nota Ringkas buat Kabinet Baharu - Realisasikan Matlamat Ekonomi Madani

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

TAHNIAH kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembentukan Kabinet baharu. Saya yakin, semua akan berusaha memberi yang terbaik buat negara kita.

Khususnya dalam menggerakkan pelan Ekonomi Madani dan merealisasikan setiap matlamat yang digariskan. Kebersamaan ahli Kabinet amatlah penting bagi memastikan gagasan Ekonomi Madani ini menjadi kenyataan.

Kerajaan juga menubuhkan sebuah unit baharu di Jabatan Perdana Menteri iaitu Unit Pantau Madani yang bertanggungjawab menggerakkan Belanjawan Madani dan dasar-dasar berkaitan yang diumumkan oleh kerajaan.

Dengan pengukuhan institusi ini, gerak kerja kerajaan akan menjadi lebih mantap. Tahniah.

Setiap tujuh matlamat Ekonomi Madani mesti disandarkan kepada tindakan-tindakan strategik yang mengarah kepada penghasilan matlamat.

Tindakan-tindakan strategik ini mesti dipantau pelaksanaan dan keberkesanannya.

Bagaimanakah pencapaian sasaran ini akan memberi manfaat yang bermakna kepada rakyat dan negara? Elok difahami dari awal. Berikut nota ringkas saya berkaitan tujuh matlamat utama Ekonomi Madani untuk anggota Kabinet yang baru dibentuk.

Noor Azlan
Noor Azlan

Artikel Berkaitan:

Matlamat 1: Malaysia menjadi ekonomi ke-30 terbesar di dunia.

Kini Malaysia merupakan ekonomi ke-37 terbesar di dunia. Thailand negara ke-30 terbesar di dunia. Saiz ekonomi bukan penentu mutlak kejayaan sebuah negara.

Ada ekonomi besar yang pendapatan perkapitanya tinggi, ada juga ekonominya besar tetapi pendapatan perkapitanya rendah. Kenapa saiz ekonomi menjadi sasaran Ekonomi Madani?

Dalam konteks pendapatan perkapita, Malaysia kini berada di tangga ke-68. Mungkinkah tahap pendapatan perkapita yang seharusnya menjadi sasaran, bukannya saiz ekonomi? Elok dibincangkan.

Matlamat 2: Malaysia meningkat ke tangga ke-12 Daya Saing Global.

Berdasarkan laporan World Competitiveness Yearbook (IMD), untuk tahun 2023 Malaysia di tangga ke-27. Kita pernah berada di tangga ke-12 pada tahun 2014.

Dari 20 subpetunjuk daya saing, 11 berada di bawah dari kedudukan 30. Satu tindakan yang menyeluruh perlu ditangani untuk meningkat semula daya saing negara.

Matlamat 3: Malaysia di tangga ke-25 Indeks Pembangunan Manusia (Human Development Report, UNDP).

Kini Malaysia di kedudukan ke-62. Sejak 33 tahun yang lalu (1990), kedudukan terbaik kita ialah ke-53 (1999).

Dalam konteks Pembangunan Manusia, Malaysia kini dikategorikan sebagai ‘very high’ dengan skor Malaysia hari ini ialah 0.803, betul-betul berada sedikit di atas sempadan ‘high’ iaitu 0.799.

Apa yang perlu diperbaiki untuk Malaysia melonjak ke tangga 25 dalam tempoh tujuh tahun?

Matlamat 4: Meningkatkan bahagian pendapatan pekerja (CE: Compensation of Employees) ke-45 peratus.

CE merujuk kepada bahagian kek ekonomi yang diperoleh oleh pekerja. Dalam tempoh hampir 10 tahun, CE meningkat setiap tahun dari 31.7 peratus (2010) sehingga 37.4 peratus (2020), sebanyak 5.7 peratus.

Namun, akibat pandemik Covid-19, CE jatuh kepada 32.4 peratus, bersamaan dengan tahap pada tahun 2011. Sasaran Ekonomi Madani CE meningkat kepada 45 peratus, memerlukan CE meningkat 12.6 peratus dalam tempoh tujuh tahun.

Matlamat 5: Malaysia berada di tangga ke-25 Indeks Persepsi Rasuah.

Ini perjuangan #1 PM untuk ‘membersihkan’ negara. Kini Malaysia di tangga ke-61 Corruption Perception Index (CPI).

Dalam kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Singapura (5) dan diikuti oleh Vietnam (77), Thailand (101), Indonesia (110), dan Filipina (116).

Kini ada dua negara berada di kedudukan 25 CPI iaitu Taiwan dan Bhutan. Ekonomi yang berintegriti tinggi, bersih dari rasuah adalah penting, namun belum mencukupi untuk kejayaan sebuah ekonomi. A necessary but not sufficient conditions.

Matlamat 6: Defisit Fiskal menurun kepada tiga peratus daripada Keluar Dalam Negara Kasar (KDNK).

Umumnya, kerajaan akan mempertingkatkan perbelanjaan awam setiap kali Malaysia berhadapan dengan krisis.

Sebagai contoh, 2000 (5.5 peratus), 2009 (6.7 peratus), 2021 (6.4 peratus) tetapi kemudiannya selepas 9 hingga 10 tahun, defisit fiskal kembali pulih ke sekitar tiga peratus.

Hutang kerajaan yang tinggi, kutipan cukai yang masih rendah, bayaran khidmat hutang yang tinggi menjadi cabaran fiskal hari ini.

Jumlah hasil kerajaan hampir menyamai Perbelanjaan Mengurus (OE), bererti, perbelanjaan pembangunan perlu dibiayai dengan sepenuhnya dengan berhutang. Perlu ada perancangan dan komitmen yang tinggi untuk menstabilkan kedudukan fiskal negara.

Matlamat 7: Penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus.

Penyertaan wanita kini pada tahap 55.8 peratus, meningkat dengan baik berbanding 46.8 peratus dalam tahun 2010. Namun masih lebih rendah dari kadar penyertaan buruh negara (69.3 peratus) dan kadar penyertaan lelaki (81.9 peratus).

Apakah yang menyebabkan penyertaan wanita dalam pekerjaan sangat rendah? Perlu ada penelitian yang lebih mendalam memahami ehwal ini. Peringkat penyertaan dan penggajian pekerja wanita juga harus diperhalusi.

Selamat menjalankan tugas kepada semua anggota Kabinet yang baru dibentuk. Mengambil semangat Anwar dalam peluncuran pelan Ekonomi Madani, jadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia.

*Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

-END-