Rombakan bertujuan perkasa gerak kerja, pentadbiran Kerajaan Perpaduan - Fadillah

Fadillah Yusof - Foto Bernama
Fadillah Yusof - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bukan sekadar bertujuan mengisi kekosongan tetapi dilihat sebagai usaha ke arah memperkasakan lagi gerak kerja dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, pelantikan muka baharu yang berwibawa, pengwujudan kementerian baharu, penyusunan semula bidang tugas di kementerian sedia ada dan pertukaran portfolio diyakini mampu memacu setiap rancangan mahupun agenda yang telah disusun rapi oleh kerajaan MADANI demi kesejahteraan rakyat.

"Dalam membuat pertimbangan penyusunan semula Kabinet, kepentingan negara dan politik yang stabil tentunya menjadi keutamaan Perdana Menteri.

"Ini amat penting kerana untuk kita menggerakkan dan memperkukuhkan ekonomi, asas utama adalah kedatangan pelabur serta politik yang stabil,” katanya menerusi kenyataan susulan rombakan yang diumumkan hari ini.

Menurut Fadillah, beliau percaya Perdana Menteri telah menilai dengan teliti, kesesuaian setiap menteri dan portfolio yang diamanahkan berdasarkan pengetahuan serta kemahiran masing-masing, selepas melakukan pemantauan rapi sepanjang setahun Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan memberikan kepercayaan dalam menerajui kementerian baharu, iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

Katanya, seperti sepanjang setahun bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan dua penggal di Kementerian Kerja Raya sebelumnya, beliau berikrar akan melakukan sebaik mungkin dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab di kementerian baharu.

Fadillah berkata, bagi hal ehwal Sabah Sarawak, keutamaan akan diberikan kepada meneruskan usaha menyelesaikan segera isu-isu tertunggak dan meletakkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di tempat sepatutnya sekali gus merapatkan lagi jurang fizikal, ekonomi dan sosial antara Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan tertinggi dan warga kerja KPK atas kerjasama terbaik dan komitmen penuh yang diberikan sepanjang menerajui KPK.

"Berikanlah kerjasama serupa kepada pengganti saya Datuk Seri Johari Abdul Ghani selepas ini,” katanya.

Fadillah turut mengajak semua barisan Kabinet yang baru diumumkan untuk terus fokus bekerja demi rakyat dan negara serta memperkukuhkan lagi ikatan perpaduan dalam kerajaan Madani untuk mendepani 2024 dan tahun-tahun seterusnya yang dijangka lebih mencabar.

"Tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik, semoga kita dapat bersama-sama membina Malaysia Madani yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara," katanya. - Bernama