Sistem PADU: Pengesahan maklumat peribadi bermula Januari

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

IPOH - Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan dibuka kepada orang ramai untuk validasi atau pengesahan maklumat peribadi bermula Januari 2024.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, inisiatif itu dilaksanakan berikutan kerajaan memerlukan maklumat tepat tentang keadaan sosioekonomi setiap keluarga.

Menurut beliau, kemampuan kerajaan menambah baik sistem bantuan sosial kepada golongan sasar tidak hanya bergantung kepada maklumat penerima.

"Tidak cukup dengan maklumat nama dan tempat tinggal, kerajaan memerlukan maklumat yang tepat tentang keadaan sosioekonomi setiap keluarga.

"Tanpa pangkalan data ini, berapa banyak peruntukan dibelanjakan pun ia belum tentu dapat memenuhi sasaran sistem bantuan sosial," katanya dalam satu kenyataan menerusi menerusi ciapan di platform X pada Selasa.

Rafizi berkata, pelaksanaan dasar-dasar akan mula dirasai dan difahami oleh rakyat tahun hadapan selepas memberi tumpuan untuk mencapai sepakat keputusan penting yang tertangguh oleh pentadbiran lalu.

"Itu akan memberi sedikit masa terluang kepada saya untuk menumpukan kepada satu lagi tugasan penting iaitu memberi pencerahan untuk melawan propaganda oleh pembangkang.

"Tujuan mereka adalah supaya rakyat berterusan mengeluh dan menolak fakta-fakta yang ada di depan mata mereka. Itu hak mereka untuk memilih strategi masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ahli Parlimen Pandan itu, pihaknya memfokus kepada usaha memperbaiki komunikasi kementeriannya dan kerajaan.

"Sebelum ini saya tidak terlalu memberi perhatian untuk menjawab kerana saya tumpukan sepenuh masa untuk memastikan keputusan-keputusan dasar penting dibuat untuk menambah baik struktur ekonomi negara," katanya.

Media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju menubuhkan PADU untuk menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.

Data sistem PADU yang dibangunkan Mei lalu merangkumi 270 pangkalan data daripada kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri dan badan berkanun melalui perjanjian perkongsian data sedia ada.