Bacaan Qunut Nazilah diteruskan seperti biasa di Terengganu

M Rozi
M Rozi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bacaan Qunut Nazilah berserta solat hajat setiap kali solat Jumaat tidak terhenti dan akan berjalan seperti biasa di seluruh masjid di Terengganu.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata, bacaan Qunut Nazilah telah dimulakan sejak 10 November lalu sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin yang ketika ini berdepan dengan kekejaman oleh rejim Zionis.

"Arahan ini telah dimulakan sejak bulan lalu dan ia masih berterusan sehingga sekarang.

"Setakat ini tiada sebarang perubahan melainkan ada arahan baru dikeluarkan mengikut keperluan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini, pada Selasa.

Menurut M Rozi, umat Islam perlu memperbanyakkan doa memohon kepada ALLAH SWT agar rakyat Palestin yang kini sedang ditindas dapat diselamatkan.

Sebelum ini, seluruh masjid di Pahang diarahkan untuk menghentikan sementara bacaan doa Qunut Nazilah ketika solat fardu.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Othman dilaporkan berkata, ia selaras dengan sunnah Rasulullah SAW yang hanya mengamalkan doa tersebut selama sebulan.

Berdasarkan laporan, jumlah kematian akibat serangan berterusan rejim penjajah Israel sudah menjangkau 17,997 orang sejak serangan tercetus pada 7 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Jurucakapnya, Ashraf al-Qudra, berkata seramai 49,300 tercedera dalam serangan rejim Zionis terhadap Palestin, lapor AFP.

Menurut Agensi Berita Palestin WAFA, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, jumlah kematian di Tebing Barat juga meningkat kepada 274 orang.