Tak perlu tunggu tahun baharu untuk tanam azam

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

TINGGAL kurang tiga minggu lagi, kita akan melangkah ke tahun baharu 2024. Setiap kali perubahan tahun, sudah pasti ramai antara kita yang bercakap mengenai azam baharu.

Menanam azam tidak salah kerana ia merupakan satu bentuk motivasi untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Namun, adakala azam yang ditanam itu hanya membara pada awal tahun, semakin sejuk pada pertengahan tahun, dan terus lenyap pada akhir tahun.

Sebenarnya kita perlu mengubah pemahaman kita tentang azam. Tidak perlu menunggu tahun baharu, baru nak menanam azam.

Andaikan jika umur kita sudah 30 tahun, bermakna kita sudah ada 30 azam. Tapi mungkin satu sahaja azam yang menjadi kenyataan. Selebihnya tinggal angan-angan, jadi lapuk dan berkulat.

Cara sebaiknya, fokus kepada azam pertama yang kita tanam sebelum ini. Selepas itu terus berikan perhatian dan tumpukan segala usaha untuk menyubur, membugarkan dan seterusnya memastikan keazaman itu jadi kenyataan.

Ini kerana kita hanya perlu ada cuma satu azam dalam kehidupan tetapi objektif, kaedah dan pelaksanaannya untuk menjayakan azam itu boleh wujudkan dalam beratus-ratus mahupun beribu-ribu cara.

Pemahaman baharu konsep azam ini boleh dipraktikkan oleh golongan remaja yang akan berpindah ke fasa kehidupan dewasa.

Artikel Berkaitan:

Ketika azam atau cita-cita yang mereka impikan masih di peringkat awal dan perjalanan untuk menuju ke arah merealisasikan azam itu masih jauh.

Apa yang penting dalam tempoh setahun ke setahun, mereka kena bijak merancang objektif, gigih melakukan pelaksanaan dan berusaha untuk menjayakan setiap misi dalam menyempurnakan azam tersebut.

Sebab itulah untuk menjayakan azam yang sudah ditanam itu bukanlah mudah dan perlu melalui pelbagai rintangan dan cabaran.

Kesemua halangan itulah yang menjadi kita sentiasa lebih matang dan memiliki pengalaman dalam kehidupan.

Kemuncak kepada segala kesusahan dan kepayahan yang kita hadapi itu adalah satu kemanisan apabila azam yang ditanam, disuburkan dan dibajai itu akhirnya menjadi kenyataan.

Itulah detik kejayaan dalam puluhan tahun fasa kehidupan kita. Jadi teruskan usaha, suburkan keazaman anda sampai mampu menggenggamnya.