Lelaki lari sekatan, tinggal dadah dalam kereta dicekup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Polis berjaya memberkas seorang lelaki, Sabtu lepas, ekoran melarikan diri daripada pemeriksaan dengan meninggalkan kereta Proton Satria dinaikinya bersama dadah dianggar bernilai RM25,000 di Pauh dekat Arau, akhir bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Arau Superintenden, Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Batu 17, Kampung Padang Limau, dekat Jitra pada 10.30 malam, Sabtu lepas.

Beliau berkata, dalam kejadian 27 November lepas itu, lelaki terbabit bersama seorang lagi lelaki melarikan diri apabila kereta Proton Satria dinaiki mereka dikejar kereta peronda polis untuk pemeriksaan setelah kenderaan berkenaan didapati dalam keadaan mencurigakan.

"Semasa di Lorong Tengku Budriah 6 (di Pauh), suspek telah memberhentikan kereta dan kedua-duanya keluar dari kenderaan itu lalu melarikan diri ke dalam belukar.

"Hasil pemeriksaan terhadap kereta itu, polis menjumpai empat peket plastik lut sinar berisi dadah dipercayai jenis syabu dianggar seberat 199.80 gram dan tiga peket plastik lut sinar berisi dadah disyaki jenis heroin dianggar seberat 898.10 gram bernilai RM25,000,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semakan mendapati lelaki itu memiliki 10 rekod lampau berkaitan dadah selain dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak 1999.

"Saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif terhadap dadah jenis opiat dan dia direman seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - Bernama.

Artikel Berkaitan: