Selangor teliti status hak tanah sebelum pindah penduduk - MB

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Amirudin
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Amirudin
A
A
A

SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor perlu meneliti terlebih dahulu status hak milik tanah penduduk Jalan Rantau Panjang Kanan, Bestari Jaya yang kerap dilanda banjir berikutan rumah mereka berdekatan Sungai Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua faktor perlu diperhalusi sebelum sebarang keputusan dibuat mengenainya.

"Saya akan mendapatkan maklumat lanjut terutama berkaitan soal menyediakan penempatan baharu kepada penduduk.

"Keadaan itu bergantung dengan kawasan dan hak milik tanah, jika ia hak milik (kerajaan negeri), sudah pasti kita boleh gantikannya," katanya.

Sebahagian rumah penduduk di Jalan Rantau Panjang Kanan, Bestari Jaya yang terletak berhampiran Sungai Selangor.
Sebahagian rumah penduduk di Jalan Rantau Panjang Kanan, Bestari Jaya yang terletak berhampiran Sungai Selangor.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Simpang Lima di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, katanya, beliau juga akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad mengenai perkara tersebut.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, kerajaan Selangor diminta mengambil langkah intervensi memindahkan penduduk di Jalan Rantau Panjang Kanan, Bestari Jaya yang terdedah kepada risiko banjir.

Artikel Berkaitan:

Dzulkefly berkata, penduduk yang tinggal di situ terdedah kepada bahaya berikutan kediaman mereka hanya kira-kira 10 meter dari tebing Sungai Selangor.

Sinar Harian pada 28 November lalu melaporkan, penduduk di Jalan Rantau Panjang Kanan, Bestari Jaya merayu kerajaan mempercepat projek menaik taraf ban di kampung itu bagi mengelakkan kejadian banjir terus berulang.

Rata-rata penduduk berharap pembinaan ban itu perlu disegerakan terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini lebih-lebih lagi jarak antara rumah mereka dan Sungai Selangor dianggarkan kira-kira 10 meter yang terdedah kepada risiko banjir.