Sultan Selangor kurnia 97 darjah, bintang kebesaran esok

Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sultan Sharafuddin Idris Shah.
A
A
A
SHAH ALAM - Seramai 97 individu menerima Darjah dan Bintang Kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan yang ke-78 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim menerusi kenyataan pada Ahad berkata, daripada jumlah itu, seorang individu menerima Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K.) dan seorang lagi dianugerahkan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (Kelas Kedua) (D.K. II).

Haris berkata, seramai tiga individu menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' bagi lelaki dan ‘Datin Paduka Seri’ bagi wanita.

Beliau berkata, dua individu pula dianugerahkan Darjah Kebesaran Datuk Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran 'Datuk Setia' bagi lelaki dan ‘Datin Paduka Setia’ bagi wanita.

Sebanyak sembilan individu menerima Darjah Kebesaran - Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran ‘Datuk’ bagi ahli lelaki dan ‘Datin Paduka’ bagi wanita.

"Sebanyak 13 individu lain menerima Darjah Kebesaran Datuk - Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang turut membawa gelaran 'Datuk' bagi lelaki dan ‘Datin Paduka’ bagi wanita,” katanya.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran - Setia Mahkota Selangor (S.M.S) kepada 15 penerima manakala 13 individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S).

Sempena ulang tahun keputeraan itu juga, Sultan Selangor berkenan untuk mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) kepada 15 penerima, Darjah Kebesaran Ahli - Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) kepada 16 orang, Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor kepada dua orang dan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C) kepada tujuh individu.

Haris berkata, kerajaan negeri menerima 2,762 pencalonan tahun ini dan daripada jumlah itu, 1,032 ialah pencalonan bagi Darjah dan Bintang Kebesaran manakala 1,730 pencalonan untuk Pingat-Pingat Negeri Selangor.
Artikel Berkaitan:


Kesemua 97 individu itu, katanya telah melepasi tapisan Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Bernama