KPDN Perak rampas 12,000 liter diesel subsidi

KPDN Perak merampas 12,000 liter minyak diesel bersubsidi hasil serbuan di sebuah kilang memproses batu kapur di Keramat Pulai Industrial Park pada Selasa. - Foto: KPDN Perak
KPDN Perak merampas 12,000 liter minyak diesel bersubsidi hasil serbuan di sebuah kilang memproses batu kapur di Keramat Pulai Industrial Park pada Selasa. - Foto: KPDN Perak
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 12,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah kilang memproses batu kapur di Keramat Pulai Industrial Park dekat sini pada Selasa.

Serbuan sekitar jam 12.10 tengah hari itu turut menahan seorang lelaki berusia 58 tahun mengaku sebagai pengurus tapak.

Pengarah KPDN negeri, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan melalui Op Tiris itu mendapati kilang berkenaan menjalankan aktiviti memproses batu kapur dan terdapat sebuah skid tank berada dalam kawasan premis.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui cecair sebanyak 12,000 liter disyaki minyak diesel tersimpan dalam skid tank tersebut.

"Pengurus tapak telah gagal mengemukakan sebarang permit barang kawalan berjadual minyak diesel ketika diminta.

Pemeriksaan menemui 12,000 liter minyak diesel bersubsidi tersimpan dalam sebuah skid tank. - Foto: KPDN Perak
Pemeriksaan menemui 12,000 liter minyak diesel bersubsidi tersimpan dalam sebuah skid tank. - Foto: KPDN Perak



"Sehubungan itu, semua rampasan yang dianggarkan bernilai RM33,000 telah disita untuk siasatan," katanya dalam kenyataan kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata, lelaki yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan sama turut dikenakan ke atas syarikat pembekal minyak diesel dan tindakan penguatkuasaan akan dikenakan ke atas pembekal kerana melanggar peraturan menjual barang kawalan kepada pihak yang tidak mempunyai lesen.

"KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyalahgunaan barang-barang kawalan ini.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti ini ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan untuk membanteras aktiviti penyelewengan ini dan mengelak berlakunya ketirisan subsidi," katanya.