X

Kindly register in order to view this article
!

3,537 notis amaran larangan merokok dikeluarkan di NS

Gamabr hiasan
A
A

SEREMBAN - Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengeluarkan 3,537 notis amaran pelbagai kesalahan berkaitan larangan merokok dalam pemeriksaan 13,316 premis makanan di negeri ini bagi tempoh Januari sehingga 28 Disember lalu.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, daripada jumlah itu, 394 notis yang dikeluarkan adalah amaran terhadap perokok yang merokok di tempat makan.

"Baki 3,016 adalah amaran terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan atas kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok.

"Sebanyak 127 lagi adalah notis amaran terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan atas kesalahan gagal memastikan tiada seorang pun merokok di dalam premis mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kompaun RM250 merokok di tempat makan berkuat kuasa Rabu ini!

Veerapan berkata, bermula 1 Januari tahun hadapan, penguatkuasaan terhadap larangan merokok di premis makan terbuka di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 akan dilaksanakan sepenuhnya dengan notis perintah hadir ke mahkamah terhadap perokok akan dikeluarkan.

Oleh demikian, beliau menasihati pemilik dan pengusaha premis makanan serta perokok supaya mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang- undang.

"Orang ramai digesa agar mematuhi peraturan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan tempat makan adalah bebas asap rokok.

"Kegagalan mematuhi peraturan ini merupakan satu kesalahan boleh didakwa di mahkamah dan apabila disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun," katanya.

Veerapan berkata, pemilik premis makanan juga diwajibkan mempamerkan tanda larangan merokok sebagaimana ditetapkan dalam Peraturan 12(1)(a) PPKHT 2004.

"Jika gagal, boleh dikenakan notis hadir ke mahkamah dan didenda RM3,000 atau penjara enam bulan, jika sabit kesalahan.

"Selain itu, di bawah Peraturan 12(1)(b) PPKHT 2004, pemilik premis juga boleh dikenakan notis hadir ke mahkamah dan didenda RM5,000 atau penjara setahun, jika sabit kesalahan kerana gagal memastikan tiada seorang pun merokok di dalam premis berkenaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus