PSM harus peka, ambil iktibar insiden padang rosak

Keadaan terkini padang Stadium Nasional Bukit Jalil. Gambar kecil: MOHD AZRAAI
Keadaan terkini padang Stadium Nasional Bukit Jalil. Gambar kecil: MOHD AZRAAI
A
A
A

PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) perlu mengambil iktibar susulan insiden padang rosak di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena aksi final Piala Malaysia pada Jumaat.

Pemerhati bola sepak negara, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, insiden yang berlaku itu sudah semestinya akan memberikan gambaran buruk kepada arena sukan Malaysia.

“Keadaan ini bagi saya adalah satu pengajaran yang sangat berguna kepada semua pihak terutama PSM dalam menyediakan padang yang baik untuk aksi final.

"Kalau ikutkan, keadaan padang rosak ini bukan kali pertama berlaku kerana pada Pestabola Merdeka sudah berlaku perkara sama kerana padang digunakan awal dan tidak cukup tempoh matang.

“Kali ini pula kerana konsert yang menyebabkan padang rosak. Ia bagaikan satu jenaka dan lebih teruk mengundang kemarahan ramai orang. Bagi saya, PSM harus lebih peka dan ambil iktibar,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Sebelum ini, rumput Stadium Nasional ditukar daripada jenis Cow Grass kepada Zeon Zoysia apabila pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi pencetus dan penaja utama kepada penukaran rumput itu.

Rumput itu digunakan buat pertama kali ketika Pestabola Merdeka antara Malaysia dan India yang menyaksikan padang berkenaan mendapat kritikan selepas rosak teruk akibat keadaan rumput yang belum matang.

Ia bertambah baik ketika Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang menyaksikan Malaysia menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi pembukaan Kumpulan D.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, keadaan padang itu sekali lagi mengundang kemarahan orang ramai apabila konsert Coldplay yang berlangsung baru-baru ini menyebabkan keadaan rumput itu kembali rosak.

PSM tampil memohon maaf selepas keadaan padang itu tidak memuaskan selain mengakui tidak mempunyai masa yang cukup untuk membaiki padang ke tahap optimum selepas konsert tersebut berlangsung.

Menurut Mohd Azraai, PSM perlu mempunyai perancangan teliti untuk sebarang penganjuran aktiviti di Stadium Nasional agar perkara sama tidak berulang.

“Mereka (pihak PSM) kena betul-betul memahami apa yang mereka lakukan terutama mengetahui bagaimana rumput itu boleh tumbuh dengan baik mengikut masa.

“Bukan dengan memberi jaminan tetapi pada akhirnya padang tetap teruk dan menjejaskan perlawanan,” ujar jurulatih berpengalaman itu.