Penswastaan Pelabuhan Barat kepada Westports dilanjutkan sehingga 2028

Anthony Loke (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Ketiga Penswastaan Pelabuhan Barat hari ini. - Foto: Bernama
Anthony Loke (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Ketiga Penswastaan Pelabuhan Barat hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perjanjian Penswastaan Pelabuhan Barat di antara kerajaan, Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) dan Westports Malaysia Sdn Bhd dilanjutkan 58 tahun lagi dari 2024 ke 2082, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, sebelum ini Perjanjian Penswastaan Pelabuhan Barat di antara kerajaan, LPK dan Westports Malaysia Sdn Bhd telah ditandatangani untuk 30 tahun berkuat kuasa 1 September 1994 hingga 31 Ogos 2024.

"Dalam tempoh 30 tahun ini, Westports telah mentransformasikan Pulau Indah kepada terminal pelabuhan yang pesat membangun dengan fasiliti dermaga dan pusat logistik sepanjang lapan kilometer yang mampu mengendalikan kapal-kapal kontena terbesar di dunia selain daripada mengendalikan kapal-kapal kargo konvensional seperti kapal pukal kering, kapal cecair dan gas serta kapal roll- on/roll-off (RORO)," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan perjanjian tambahan ketiga penswastaan di antara kerajaan, LPK dan Westports di sini hari ini, Anthony Loke berkata, konsesi baharu itu turut merangkumi pembangunan fasiliti baharu di Pelabuhan Barat dengan pelaburan sebanyak RM39.6 bilion.

Katanya, pelanjutan tempoh itu bakal menyaksikan pelaksanaan projek pembesaran Terminal Kontena (CT) Westports iaitu pengendali Pelabuhan Barat, yang dijangka meningkatkan kapasiti kontena daripada 14 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) kepada 27 juta TEU sehingga 2082.

Memetik laporan PriceWaterhouseCoopers (PwC) pada 2022, Loke berkata pembesaran terminal itu bakal memberi impak ekonomi sebanyak RM55 bilion serta menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM19 bilion dan mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan sepenuh masa.

"Pembesaran terminal Westports iaitu CT10 hingga CT17 akan dilaksanakan berasaskan prinsip kelestarian sejajar dengan aspirasi pelabuhan hijau termasuk penggunaan automasi dan memanfaatkan pendigitalan yang akan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau," katanya.

Ditanya sama ada pembesaran terminal Westports itu adalah susulan rancangan Thailand membina pelabuhan dan jambatan darat bagi memintas laluan perkapalan di Selat Melaka, beliau berkata, rancangan pembesaran terminal itu telah lama dirancang yang mana fokusnya hanya kepada usaha memperkukuh keupayaan pelabuhan negara.

"Kita memerlukan pelabuhan yang lebih besar dan efisien untuk mengendalikan peningkatkan jumlah kontena. Kita mahu mengukuhkan sektor maritim dan pelabuhan sendiri dan tidak perlu risau tentang persaingan dari negara lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anthony Loke berkata, pembangunan infrastruktur maritim adalah salah satu keutamaan kerajaan dalam meningkatkan ekonomi negara, dan oleh itu pentingnya kerjasama di antara sektor awam dan swasta terutamanya dalam industri yang dinamik dan global seperti pelabuhan dan perkapalan.

Sejajar dengan status Malaysia sebagai negara maritim yang mempunyai kepentingan strategik di laluan perdagangan utama dunia, beliau berkata salah satu kaedah yang dikenal pasti di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah untuk mengubah ekosistem logistik ke arah kecekapan yang lebih tinggi. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!