Hargai peranan media sebar usaha kerajaan

Mohamad (tiga dari kiri) ketika melakukan kunjungan hormat ke Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.
Mohamad (tiga dari kiri) ketika melakukan kunjungan hormat ke Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Peranan media penting dalam menyebarkan maklumat yang benar berkenaan usaha kerajaan untuk meneruskan agenda rakyat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, media perlu menjadi ejen penerangan supaya rakyat memahami apa yang diusahakan dan dilakukan oleh kerajaan.

“Media kena uar-uarkan apa yang kerajaan buat.

"Jika rakyat faham, dia tidak bergantung kepada persepsi, fitnah dan sebagainya.

"Bila tiba pilihan raya mereka akan memilih parti atau individu yang layak,” katanya ketika melakukan kunjungan hormat ke Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.

Kehadiran beliau disambut dan diiringi Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli.

Dalam lawatan itu, beliau diberi penerangan dan dibawa melihat operasi editorial akhbar dan portal Sinar Harian sebelum dibawa ke studio untuk rakaman sesi wawancara khas.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan peranan yang dimainkan oleh Sinar Harian sebagai sebuah akhbar yang bebas dan berkecuali.

Artikel Berkaitan:

“Banyak usaha kerajaan yang masih rakyat tidak tahu umpamanya tentang peruntukan bagi projek menaik taraf infrastruktur dan sistem pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang melibatkan kos kira-kira RM3 bilion.

“Ia secara tidak langsung turut dapat meningkatkan taraf hidup petani yang 90 peratus adalah kaum Melayu,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian kerana boleh bekerjasama dengan KPKM dalam memberikan informasi berkaitan isu semasa termasuk maklumat berkaitan bekalan dan keselamatan makanan.