Misi ʻhidup matiʼ Malaysia

Aksi antara Malaysia dan Argentina dalam saingan Kumpulan A Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Rabu.
Aksi antara Malaysia dan Argentina dalam saingan Kumpulan A Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Rabu.
A
A
A

MALAYSIA berdepan misi ‘hidup mati’ menjelang pertemuan menentang Australia dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Tiga mata maksimum menjadi buruan skuad The Young Tigers kendalian Muhammad Amin Rahim itu untuk mengesahkan slot ke pusingan suku akhir.

Jika gagal, Malaysia sudah boleh ‘menutup buku’ lebih awal, sekali gus gagal mengulangi pencapaian terbaik mara sehingga peringkat separuh akhir pada edisi 2013 di New Delhi, India.

“Bagi saya tiada alasan... tiada jalan pintas... tiada pilihan lagi untuk layak ke peringkat suku akhir.

"Kita harus all out apabila berdepan Australia nanti.

“(Tempoh) 60 minit (perlawanan) beri sehabis baik.

"Panas, hujan, salji... kita kena turun dan bagi persembahan terbaik, itu sahaja untuk ke suku akhir.

“Jadi pemain-pemain, baik di barisan pertahanan, tengah mahupun penyerang, mereka harus lebih fokus, laksana tugas seperti biasa dengan baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Malaysia terpaksa merintis laluan sukar ke suku akhir apabila tewas 0-4 kepada penyandang juara, Argentina dalam aksi kedua Kumpulan A pada Rabu lalu.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia kini terpaksa bersaing dengan Australia bagi mengiringi Argentina ke pusingan suku akhir selepas kedua-dua pasukan terikat tiga mata.

Selepas dua perlawanan, Argentina gah menerajui Kumpulan A dengan enam mata diikuti Australia, Malaysia dan Chile yang gagal meraih sebarang mata.

Mengulas lanjut, Amin berkata, anak-anak buahnya harus selangkah di depan berbanding Australia jika berhasrat menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik.

“Australia adalah sebuah pasukan yang memiliki kekuatan dari segi fizikal dan mempunyai corak permainan pantas. Kelebihan mereka juga dari segi gol padang.

“Jadi struktur pertahanan kita kena lebih berdisiplin. Ini penting supaya kita tidak buat kesilapan mudah dan membenarkan Australia menjaringkan gol padang,” jelasnya.

Pada masa sama, Amin berharap anak-anak buahnya dapat belajar daripada kekalahan kepada Argentina apabila turun berdepan juara edisi 1997 itu nanti.

“Dalam tempoh kurang dua hari sebelum menentang Australia, barisan kejurulatihan akan menilai semula kesilapan yang dilakukan ketika menentang Argentina.

“Pemain-pemain juga harus lebih waspada untuk tidak mengulangi kesilapan sama.

"Ini Piala Dunia, jadi tidak patut melakukan kesilapan mudah,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!