Pemandu, penumpang maut kereta langgar treler

Pemandu dan penumpang sebuah kereta maut selepas terlibat kemalangan dengan treler di Jalan Gerik-Jeli, petang Khamis. - Foto ihsan Bomba Perak
Pemandu dan penumpang sebuah kereta maut selepas terlibat kemalangan dengan treler di Jalan Gerik-Jeli, petang Khamis. - Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

GERIK - Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka melanggar sebuah treler membawa muatan habuk kayu di Kilometer 16.9, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik - Jeli di sini pada Khamis.

Dalam kejadian itu, pemandu kereta jenis Proton Wira dikenali sebagai Razali Mamat, 44, dan penumpangnya, Saipul Hamdan Ismail, 41, disahkan maut akibat kecederaan parah.

Difahamkan kenderaan dinaiki kedua-dua mangsa yang dalam perjalanan menghala ke Jeli itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan treler berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Mohd Azizan Aziz berkata, sepasukan 12 anggota diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 5.17 petang.

Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa kemalangan di Gerik pada Khamis. - Foto ihsan Bomba Perak
Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa kemalangan di Gerik pada Khamis. - Foto ihsan Bomba Perak

"Setibanya di lokasi didapati kereta mangsa berada dalam keadaan terhimpit antara penghadang jalan dan kenderaan berat terbabit menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di dalamnya.

"Pasukan menggunakan pemotong hidraulik dan peralatan menyelamat khas dalam operasi mengeluarkan mangsa," katanya ketika dihubungi di sini.

Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Foto ihsan Bomba Perak
Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Foto ihsan Bomba Perak

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan sejam kemudian dan pihak Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Tambah Mohd Azizan, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik bagi tindakan lanjut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!