Lelaki kena serangan jantung maut, kereta langgar tembok kuil

Keadaan kereta mangsa yang remuk di bahagian hadapan selepas terbabas dan melanggar tembok kuil.
Keadaan kereta mangsa yang remuk di bahagian hadapan selepas terbabas dan melanggar tembok kuil.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh tembok kuil di Jalan Kampung Lambak dekat sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 8.40 pagi itu, mangsa Lok Ming Choy, 55, beralamat dari Ipoh meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Camry mengalami serangan jantung ketika kejadian.

"Siasatan awal mendapati, mangsa dari arah Kampung Lambak menghala ke pekan Tanjung Malim.

"Sampai di tempat kemalangan, kereta dipandu mangsa hilang kawalan hingga terbabas ke bahu jalan dan melanggar tembok sebuah kuil Hindu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, hasil bedah siasatan dijalankan di Hospital Slim River mengesahkan kematian mangsa akibat serangan jantung.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.