Pesara guru rugi RM480,000 ditipu sindiket syarikat kurier

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pesara guru mengalami kerugian RM480,000 selepas ditipu sindiket penyamaran sebuah syarikat kurier dan pihak berkuasa dalam talian dalam kejadian pada bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihak polis menerima laporan daripada mangsa seorang wanita berusia 56 tahun itu pada Rabu.

"Pada 15 November lalu, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai ejen syarikat kurier dan juga pihak polis menyatakan bahawa ada bungkusan yang mengandungi bahan terlarang iaitu buku cek dan kad pengenalan yang didaftarkan atas nama mangsa.

"Mangsa berasa lebih takut apabila diugut akan dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Arifai berkata, mangsa seterusnya telah mengikuti segala arahan dengan menekan pautan yang diberikan dan berkongsi maklumat akaun bank miliknya bagi tujuan menyelesaikan masalah tersebut.

"Selepas itu, dia berasa curiga dengan urusan tersebut sebelum membuat semakan akaun bank dan mendapati ada pengeluaran wang dari akaun miliknya sebanyak RM480,000.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Jelas Arifai, justeru orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya kepada pihak yang menyamar sebagai agensi kerajaan atau penguatkuasaan secara atas talian.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis agar tidak menjadi mangsa penipuan.

" Sebarang nasihat atau maklumat lanjut boleh menghubungi CCID Scam Response Cebtre di talian 03-26101559 atau 03-26101599," katanya.