Kerjasama wujud perbandaran mampan, sifar karbon - Kor Ming

Kor Ming menyampaikan ucapan sempena Persidangan ke-28 Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Dubai.
Kor Ming menyampaikan ucapan sempena Persidangan ke-28 Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Dubai.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menekankan agar semua negara bekerjasama ke arah mewujudkan perbandaran mampan dengan sasaran pelepasan karbon rendah kepada sifar.

Kor Ming menegaskan, peranan warga global mengenai keperluan bertindak segera menangani krisis perubahan iklim bagi mencapai pembangunan bandar mampan.

“Bagi merealisasikan matlamat itu, negara membangun memerlukan pembiayaan iklim dengan kadar segera untuk memperkasakan kerajaan tempatan melaksanakan inisiatif mitigasi,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Persidangan ke-28 Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP28) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Malaysia diberi penghormatan bagi mempengerusikan mesyuarat itu bersama-sama UAE, Brazil, Mesir, Kenya dan Papua New Guinea.

Dalam ucapannya, Kor Ming turut berkongsi mengenai komitmen kerajaan Malaysia dalam menangani perubahan iklim.

Malaysia diberi penghormatan bagi mempengerusikan mesyuarat bersama-sama UAE, Brazil, Mesir, Kenya, dan Papua New Guinea.
Malaysia diberi penghormatan bagi mempengerusikan mesyuarat bersama-sama UAE, Brazil, Mesir, Kenya, dan Papua New Guinea.

Menurutnya, negara komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030 seterusnya mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, Malaysia secara proaktif melaksanakan langkah-langkah besar dan inisiatif kerjasama untuk menangani cabaran yang ditimbulkan oleh perubahan iklim.

“Dasar Tenaga Negara 2022-2040 yang transformatif akan mewujudkan asas bagi peralihan tenaga yang adil dan inklusif manakala Aspirasi Negara Rendah Karbon membolehkan ekonomi Malaysia memanfaatkan peralihan tenaga untuk kekal berdaya tahan dan mampan,” ujarnya.

Tambah Kor Ming, Malaysia telah memperkenalkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara untuk mewujudkan laluan tenaga mampan dan ekonomi hijau bernilai tinggi, memupuk pertumbuhan mampan serta mencipta peluang pekerjaan.

Berkongsi mengenai komitmen terakhir, beliau berkata, negara juga menekankan kepentingan untuk beralih daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran.

Justeru, beliau memaklumkan, kerajaan Malaysia telah menubuhkan Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal untuk menyelia pelaksanaan dan kemajuan sektor ekonomi kitaran yang sedang pesat membangun.