3 lelaki, seorang wanita ditahan bantu siasatan tipu pelaburan hartanah

No Image Caption
A
A
A

ARAU - Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita dalam serbuan berasingan hari ini serta semalam disyaki terlibat dalam kegiatan kes penipuan pelaburan hartanah.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, tiga pengarah syarikat berumur antara 40 hingga 50-an ditahan semalam manakala seorang ejen pelaburan lelaki berusia 30-an ditahan pada 9 pagi tadi di ibu pejabat syarikat yang dipercayai terlibat dalam penipuan pelaburan itu sejak 2019.

Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas polis bertindak daripada laporan seorang pekerja kilang lelaki berusia 20 tahun pada 8 November lepas, yang memaklumkan ditipu setelah menyertai pelaburan ditawarkan syarikat pelaburan hartanah.

"Dalam serbuan hari ini, polis merampas 1,255 unit fail dipercayai milik pelanggan membabitkan kerugian dianggar berjumlah RM39,000 dan tiga komputer bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar selepas serbuan di ibu pejabat syarikat itu hari ini.

Menurut Ahmad Mohsin, selain Arau, siasatan awal mendapati syarikat itu turut beroperasi di Kedah, Johor, Pulau Pinang, Melaka, dan Perak.

Beliau berkata, Polis Kontinjen Perlis telah membuka tiga kertas siasatan berkaitan kes penipuan pelaburan oleh syarikat berkenaan.

Kesemua empat individu itu, katanya disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan mereka akan diserahkan kepada polis di beberapa negeri lain untuk membantu siasatan kes sama. - Bernama

Artikel Berkaitan: