Penganggur didakwa bunuh pemilik rumah sewa
KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas pertuduhan membunuh wanita warga emas yang juga pemilik rumah sewanya, dua minggu lepas.
Mohamad Amirul Arshad Zainudin, 22, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chai Guan Hock.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mohamad Amirul didakwa membunuh Hong Kee Ing, 70, di parkir kereta di Jalan E4/1, Taman Ehsan, Gombak antara 8.30 malam 22 November hingga 9.50 malam 23 November.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang dari 30 dan maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 16 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi laporan forensik, kimia dan bedah siasat.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas maut ditikam dan dikelar leher dalam kejadian di Taman Ehsan di sini pada 23 November lalu dan kejadian dipercayai berlaku kerana tidak berpuas hati mengenai kadar sewa rumah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!